Kenyataan Media Daripada Chiew:
Kerajaan didesak memandang serius dan meneruskan pendekatan jangka panjang Pakatan Harapan (PH) untuk menyelesaikan masalah pemberian bantuan kepada individu yang layak.
Setiausaha Publisiti DAP Bintulu Chiew Chan Yew berkata rakyat Sarawak yang mendapat kesulitan akibat kesan wabak COVID-19 dalam enam bulan lepas memaksa mereka bermalam di luar bank bagi menunggu giliran untuk menerima bantuan tersebut.
Beliau yang mendapat banyak maklum balas dari orang ramai berkenaan hal tersebut telah turun padang sendiri ke bank yang dimaksudkan pada jam 3 pagi untuk mengetahui keadaan sebenar.
Apa yang mengejutkan dan menyedihkan beliau apabila melihat sendiri bahawa ada individu terpaksa bermalam di kaki lima di luar bank pada awal pagi, ditambah dengan persekitaran kaki lima yang tidak elok dan terdapat banyak nyamuk pada waktu malam.
“Banyak dari mereka mulai tidur di sana selepas tengah malam, menunggu malam yang panjang sehingga ke subuh.
“Kami percaya jika kerajaan tulus, ia dapat memilih banyak cara lain untuk memberi bantuan kewangan seperti pendekatan teknologi elektronik yang dilaksanakan oleh PH bertujuan untuk memberi kemudahan kepada penduduk di kawasan pedalaman,” katanya dalam satu kenyataan media di sini.
Chiew berkata berbanding dengan beberapa bulan yang lalu, orang yang tidur di kaki lima bank sudah berkurang tetapi banyak orang dari luar bandar masih terpaksa menunggu di situ lebih awal kerana memikirkan jarak bank dengan tempat tinggal yang agak jauh.
Selain itu, menurutnya walaupun tempoh sah untuk menerima bantuan tersebut hingga hujung tahun ini namun nombor giliran yang diedarkan oleh bank setiap hari adalah terhad sehingga menyusahkan mereka yang datang dari jauh untuk menerima bantuan.
“Sebilangan besar mereka datang dari rumah panjang yang jaraknya ratusan kilometer dari bandar, ada yang datang beberapa kali tetapi masih tidak dapat menyelesaikan urusan,” ujarnya.
Disamping itu, perkara sama turut berlaku pada waktu siang apabila orang ramai beratur di sekitar bangunan bank sehingga mereka terdedah kepada terik matahari.
“Dan bahkan untuk pergi ke tandas sahaja adalah ujian besar bagi mereka yang beratur ini disamping perniagaan kedai-kedai berdekatan juga terjejas dan menyusahkan sehingga tahap tertentu.”
“Fenomena ini tidak seharusnya terjadi, rakyat telah menunggu dan terseksa selama berbulan-bulan ditambah dengan suara dan tindakan sesetengah pihak tetapi kerajaan tidak memperhatikan masalah terbabit,” katanya.
Oleh itu, Chiew meminta kerajaan untuk mengambil inisiatif dengan menjalinkan kerjasama baik dengan bank-bank dan memberikan bantuan yang diperlukan kepada bank-bank.
Katanya lagi wabak COVID-19 belum lagi berakhir, kerajaan harus mempermudahkan prosedur untuk menerima bantuan dan fenomena tidur di luar bangunan bank juga merupakan tekanan dan cabaran besar terhadap imej bank dan juga kakitangan bank.