Tiada bekalan air walaupun paip dah bertahun siap disambung

424

Kenyataan Media Daripada Tony Chiew:

Para penduduk yang mendiami sekitar kawasan Batu 25 (Jalan Bintulu – Miri) tidak mendapat bekalan air bersih daripada pihak kerajaan dan bergantung sepenuhnya dengan air tadahan hujan dan kolam bagi kegunaan dan keperluan harian.

Pilihanraya silih berganti tetapi selama beberapa dekad para penduduk masih menunggu bekalan air bersih daripada pihak kerajaan. “Berapa kali harus pilihanraya diadakan sebelum kami menerima bekalan air bersih. Kami tidak mahu menunggu lagi,” kata para penduduk berkenaan.

Dekad pertama penduduk menanti kedatangan batang paip. Dekad seterusnya menunggu proses penggalian. Untuk dekad yang mendatang para penduduk masih lagi menanti proses penyambungan paip kepada loji bekalan air. Selama 6 tahun batang paip ditinggal begitu sahaja di tepi jalan tidak jauh dari rumah panjang. Adakah kerajaan mempermainkan para penduduk dan menjanjikan bekalan air bersih hanya sekadar untuk memenangi pilihanraya?

Para penduduk bukan sahaja menggunakan bekalan air hujan malah terpaksa membeli air minuman untuk diminum.Para penduduk turut memaklumkan sekotak air minuman berharga Rm 10.00. Bukankah perkara ini membebankan ekonomi rakyat? Bagi mereka yang tidak mempunyai kenderaan, mereka terpaksa mencari pengangkutan untuk membawa bekalan air yang dibeli. 

Sekalipun dibekalkan dengan tangki biru, bekalan air ini tidak mampu untuk menampung kegunaan para penduduk khususnya di musim perayaan dan musim kemarau. Kebersihan air hujan yang ditadah juga diragui tahap kebersihan untuk diminum.

Hidup tanpa bekalan air bersih dan bekalan elektrik mungkin perkara biasa bagi penduduk pedalaman. Namun demikian, penduduk disini merasakan perkara itu amat pelik kerana lokasi rumah panjang mereka berdekatan dengan bandar utama.

Menyediakan bekalan air bersih merupakan tanggungjawab utama kerajaan kepada rakyat. Autonomi dan kedaulatan Sarawak hanya omong kosong jikalau keperluan asas rakyat masih berada di takuk lama sekalipun memerintah selama 60 tahun.

Air merupakan anugerah alam tetapi harus diuruskan dengan baik oleh kerajaan. Kadang – kadang bekalan air bukan sahaja tidak bersih malah langsung tidak dibekalkan kepada rakyat. Ini merupakan isu besar.

Kebanyakan para penduduk disini bekerja di Bandar Bintulu namun balik ke kampung halaman tanpa setitik bekalan air bersih. 

Terdapat juga situasi yang menyedihkan apabila mereka terpaksa berkongsi “tangki biru”. Adakah solusi ini berkesan untuk jangka pendek dan masa panjang. Sekalipun dibekalkan dengan sistem penapis air, dalam tempoh tertentu ianya akan mengalami kerosakkan kerana tiada proses penyelengaraan dilakukan. Kehidupan mereka amat susah dan mereka tidak pasti berapa lama lagi harus menunggu.

Isu bekalan air bersih ini harus dipandang serius oleh kerajaan Sarawak. Ini perkara asas yang harus diterima oleh rakyat. Isah mendabik dada jika perkara asas ini gagal diatasi demi kesenangan rakyat.