DAPSY saran penduduk manfaatkan ‘MyOnline Passport’

288

Ketua Pemuda Sosialis Parti Tindakan Demokratik Sarawak (DAPSY) Peter Hee menyarankan penduduk memanfaatkan e-perkhidmatan ‘MyOnline Passport’ daripada Jabatan Imigresen Malaysia.

https://imigresen-online.imi.gov.my/eservices/myPasport

Menurut Hee, permohonan dalam talian membantu penduduk meringkaskan proses permohonan dan mengurangkan kesesakan di kaunter. 

“Saya berharap kepentingan perkhidmatan ini diperluaskan kepada umum agar lebih ramai memanfaatkannya,” jelas beliau. 

Hee memberitahu, perkhidmatan itu disediakan untuk rakyat Malaysia membuat permohonan pembaharuan pasport Malaysia secara dalam talian. 

Beliau mengulas perkara itu setelah melakukan lawatan ke Pejabat Imigresen Miri di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Miri Selasa lalu.

Hee menerima aduan tentang kesesakan pengunjung di pejabat itu khasnya urusan permohonan dan pembaharuan pasport. 

Menurutnya, masalah kerap berlaku selepas cuti panjang musim perayaan.

 “Saya dimaklumkan ramai beratur panjang sejak awal pagi. 

“Ada yang terpaksa berpatah balik dan datang semula pada tengah hari. Bagaimanapun, jumlah pengunjung juga tidak berkurangan pada waktu itu,” jelasnya. 

Kakitangan bertugas di kaunter memaklumkan kepada Hee bahawa permohonan pasport kerap meningkat selepas cuti.

Beliau dimaklumkan dalam tempoh dua hari selepas cuti Hari Raya Aidilfitri (Selasa dan Rabu), Pejabat Imigresen Miri menguruskan lebih 500 permohonan. 

“Imigresen sentiasa bersedia dan cuba sedaya upaya menyelesaikan permohonan setiap hari,” katanya.