Kerajaan Sarawak Harus Memberi Subsidi Tunai Secepat Mungkin

406

Kenyataan Media Daripada Tony Chiew:

Kerajaan Sarawak digesa untuk memberi subsidi tunai secepat mungkin bagi mereka yang terkesan teruk akibat pelaksanaan arahan 70 peratus pekerja bekerja dari rumah.

Setiausaha Publisiti DAP Bintulu, Chiew Chan Yew berkata langkah memutuskan jangkitan COVID-19 yang sewenang-wenangnya dibuat pihak berkuasa menyebabkan orang dan perniagaan di pelbagai sektor memerlukan bantuan daripada pihak kerajaan.

“Pada ketika rakyat bekerjasama mematuhi langkah-langkah kawalan COVID-19, kerajaan bertanggungjawab untuk memberikan subsidi dan bukannya memperlakukan orang awam dan perniagaan sebagai musuh dalam memerangi wabak tersebut. Tindakan keras tersebut akhirnya akan menjejaskan puluhan ribu pekerja dan keluarga.”

“Rakyat bukan musuh, tetapi mangsa di dalam pandemik ini, selagi wabak ini belum berakhir adalah wajar bagi kerajaan untuk memberi subsidi gaji dalam tempoh perintah kawalan pergerakan,” katanya dalam satu kenyataan media di sini.

Chiew berkata Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Bintulu perlu menjelaskan betapa relevannya perlaksanaan 30 peratus pekerja bekerja di pejabat manakala 70 peratus lagi bekerja dari rumah.

Menurutnya, hari ini orang ramai masih kabur mengenai langkah-langkah tersebut menyebabkan banyak pemilik perniagaan hidup dalam ketakutan setiap hari.

“Saya ingin bertanyakan adakah langkah tersebut tidak tertakluk untuk industri berskala besar? Hanya syarikat kecil yang mempunyai kurang daripada 10 pekerja perlu mematuhi arahan tersebut?”

“Disamping itu, adakah arahan tersebut merujuk kepada semua pekerja syarikat atau hanya pekerja yang di pejabat sahaja? Syarat-syarat mesti dinyatakan dengan jelas sebelum dilaksanakan,” ujarnya.

Chiew mengatakan bahawa banyak profesional dan perniagaan yang bekerja sekarang merasakan pihak berkuasa seakan menganggap mereka sebagai musuh berbanding daripada usaha memerangi wabak itu.

Beliau percaya bahawa Gabungan Parti Sarawak (GPS) bertanggungjawab atas akibat teruk dari wabak ini dan hanya Bintulu melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) ketat seperti kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Tidak ada yang menentang dalam memerangi wabak ini, tetapi kerajaan perlu memberi subsidi tunai yang sewajarnya kepada pemilik perniagaan. Tidak patut membiarkan pemilik perniagaan untuk ‘survive’ sendiri seperti sekarang,” gesanya.

Semasa tempoh penularan jangkitan ini, perniagaan pelbagai industri, terutama perusahaan kecil dan sederhana telah merosot, malah perniagaan kini menghadapi tekanan untuk membayar gaji bulanan.

Chiew berpendapat sekiranya syarikat membiarkan prestasi mereka rosak teruk kerana produktiviti pekerja mereka yang terhad, ia akhirnya akan menyebabkan syarikat berhadapan dengan muflis.

“Kita semua tahu bahawa wang pasti tidak lebih penting daripada nyawa. Kerajaan Sarawak harus menggunakan cukai sendiri dan bahkan simpanan untuk memerangi jangkitan ini. Jika tidak, bagaimana rakyat yakin dengan kerajaan ini akan mengambil berat mengenai kehidupan dan kesihatan rakyat.

“Di bawah sistem kebebasan demokrasi dan kedaulatan undang-undang, kekuasaan kerajaan berasal dari rakyat. Jika kerajaan tidak menghulurkan bantuan ketika rakyat sangat memerlukan pertolongan, malah dikenakan kompaun puluhan ribu, jika masih terus melakukannya dengan cara mereka sendiri, anda pasti akan ditolak oleh kemarahan rakyat,” katanya.

Beliau percaya bahawa kerajaan Sarawak harus melakukan penilaian yang teratur dan berhati-hati kerana jika tidak, kekurangan berpandangan jauh dan kegagalan langkah-langkah ini hanya akan membiarkan industri hilang harapan di dalam tempoh wabak ini.