PERCEPATKAN PEMBINAAN JAMBATAN SELAMPIT

658

Kenyataan Media Daripada Mordi Bimol:

Jambatan Selampit yang sudah berkali-kali menjadi janji pilihanraya wajar diberikan perhatian segera oleh pihak kerajaan negeri.

Menteri bagi Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dalam jawapannya kepada saya dalam sesi Parlimen menyatakan RM30 juta sudah pun diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan tetapi pada 18 November 2021, Menteri menyatakan status terkini projek Jambatan Selampit masih belum dapat ditender memandangkan terdapat isu pertapakan (siting application) yang mana State Planning Authority (SPA) tidak meluluskan cadangan lokasi jambatan bagi projek ini.

Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak selaku agensi pelaksana bagi projek ini telah mengemukakan permohonan pertapakan sebanyak empat (4) kali kepada SPA tetapi tidak diluluskan.

Pihak Kementerian masih lagi sedang dalam proses libat urus bagi menyelesaikan isu tersebut termasuk mengadakan perbincangan dengan Kerajaan Sarawak melalui State Implementation Monitoring Unit (SIMU).

Saya amat menghargai dan berterima kasih di atas keprihatinan YB Billy Sujang dan menyokong penuh kenyataan beliau di mana Jambatan Selampit perlu dilaksanakan pada tahun ini.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan ada menjawab ADUN Opar mengenai status projek tersebut semasa ucapan penggulungan pada sidang DUN Sarawak 26 Mei 2022. Beliau menyatakan bahawa JKR akan menghantar semula siting application untuk pembinaan Jambatan Selampit kepada kerajaan negeri untuk kelulusan.

Timbul pelbagai persoalan apakah yang terjadi selama tempoh hampir 2 tahun 5 bulan antara JKR dengan SPA dan SIMU. Mengapa permohonan pertapakan empat (4) kali oleh JKR kepada SPA tidak diluluskan? Mengapa masalah ini tidak dimaklumkan kepada wakil rakyat mahupun penduduk kampung yang terlibat untuk diselesaikan? Dimanakah proses libat urus yang sepatutnya dilakukan bagi memudahkan projek tersebut dilaksanakan segera? Adakah kerajaan Sarawak berniat untuk melengahkan projek tersebut bagi dijadikan umpan pilihanraya umum akan datang?

Cukup-cukuplah projek jambatan ini tertangguh bertahun-tahun lamanya. Berapa lama lagikah penduduk Kampung Selampit dan Kampung Bitokan perlu menggunakan perahu terbuka menyeberangi sungai untuk kehidupan seharian? Berapa lama lagikah untuk mereka berhadapan risiko serangan buaya serta keadaan cuaca yang tidak menentu? Berapa lama lagikah mereka perlu menunggu untuk membawa pesakit sewaktu kecemasan? Tiada alasan lagi untuk projek ini tidak diteruskan dan juga dijadikan umpan pilihanraya. Pembinaan Jambatan Selampit ini harus dipercepat.

Seperti yang telah lama saya perjuangkan, projek pembinaan Jambatan Selampit merupakan salah satu projek yang sentiasa dekat di hati. Harapan untuk melihat terbinanya infrastruktur asas tersebut bukan sahaja dilihat dari aspek fizikal semata-mata seperti menjimatkan masa, mengurangkan kos serta meningkatkan kualiti hidup masyarakat di kampung tersebut malah dilihat dari segi memperkukuh inklusiviti ke arah masyarakat yang saksama seiring dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

YB MORDI ANAK BIMOL
Ahli Parlimen Mas Gading