
Kuching: Organisasi media dan penerbit kandungan dalam talian perlu berpandukan garis panduan yang jelas ketika melaporkan kes keganasan di sekolah, khususnya dalam pengendalian rakaman video dan butiran yang boleh mengenal pasti kanak-kanak bawah umur, kata Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii Lee Wuen.
Yii berkata beliau telah berbincang dengan Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, mengenai perkara itu dan menggesa Majlis Media Malaysia mengambil pendirian tegas terhadap pelaporan yang bertanggungjawab susulan insiden baru-baru ini di sebuah sekolah antarabangsa di Kuching, apabila seorang guru cedera akibat perbuatan seorang pelajar berusia 16 tahun.
Beliau berkata garis panduan pelaporan yang jelas diperlukan bagi memastikan insiden melibatkan kanak-kanak dan remaja dikendalikan secara sensitif, di samping melindungi privasi dan kesejahteraan mereka.
Yii turut menyeru organisasi media, portal berita dalam talian dan pentadbir saluran kandungan supaya mempertimbangkan kesan liputan mereka, dan bukannya mengutamakan jumlah klik, tontonan serta interaksi.
“Melindungi anak-anak kita ialah tanggungjawab bersama kerajaan, platform, sekolah, ibu bapa, media dan setiap daripada kita yang melayari, memberikan komen dan berkongsi kandungan.
“Marilah kita memilih untuk tidak memperluaskan penyebaran keganasan. Sebaliknya, marilah kita membina ruang digital yang membolehkan golongan muda berasa selamat, dihargai dan mendapat sokongan,” katanya.
Yii menggesa orang ramai supaya berhenti menyebarkan kandungan keganasan dan sebaliknya membantu mewujudkan persekitaran digital yang membolehkan golongan muda berasa selamat, dihargai dan mendapat sokongan.
Beliau menambah bahawa usaha melindungi golongan muda perlu melangkaui kawasan sekolah dan turut merangkumi ruang digital tempat mereka berinteraksi, berkomunikasi serta membina hubungan.














