Petronas Rugi Sebanyak 21 Bilion Sarawak Perlu Mengambil Langkah-Langkah Untuk Mengatasi Pengecutan Fiskal

511

Kenyataan Media Daripada Chew Chin Sing:

Kerugian RM21 bilion pada suku kedua tahun ini yang dicatatkan Petronas bukan sahaja menjejaskan kewangan negara, tetapi Sarawak juga turut menerima kesan yang sama teruk.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu Chiew Chiu Sing berkata permintaan minyak dan gas yang menyusut sudah pasti secara langsung mempengaruhi pergantungan kewangan jangka panjang Sarawak pada cukai royalti lima peratus dan juga baru-baru ini yang telah dijanjikan cukai jualan lima peratus oleh Petronas.

Beliau menggesa Sarawak dan kerajaan pusat perlu segera merangka dasar kecemasan dan berusaha menyelamatkan perusahaan tempatan yang berhadapan kesusahan dan cabaran lebih-lebih lagi Bintulu yang menjadi bandar pembekal gas terbesar kepada Petronas.

“Dianggarkan bahawa pendapatan cukai Sarawak dari aspek ini akan menurun. Sekalipun Petronas telah menyatakan bahawa ia tidak akan memberhentikan pekerja walau menghadapi kerugian, tetapi apabila Petronas berhadapan dengan kerugian secara tidak langsung Bintulu turut merasa kesusahan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan media di sini.

Chiew berkata keadaan semasa seperti ini dijangka akan mengurangkan jumlah projek berkaitan di Bintulu dan pada masa yang sama akan mempengaruhi banyak industri tempatan.

“Tentu sahaja pasaran pengguna tempatan tidak akan terlepas dari rasa panik, disamping perniagaan telah terkena impak Perintah Kawalan Pergerakan sebelum ini dan kemerosotan semasa pasaran minyak dan gas pasti memburukkan lagi keadaan.”

“Bagaimanapun kegiatan ekonomi banyak perniagaan tempatan tidak dapat dipisahkan dari situasi naik turunnya industri minyak dan gas,” ujar beliau.

Terdahulu, menurut laporan berita permintaan minyak dan gas global menyusut akibat daripada penurunan harga minyak mentah antarabangsa ditambah dengan terjejas oleh permintaan lemah susulan penularan COVID-19 dan keadaan lebihan bekalan dalam pasaran.

“Industri minyak dan gas percaya bahawa prospek masa depan bakal mirip dengan era arang batu yang lalu dimana era penetapan harga tinggi hilang selama-lamanya.”

“Sekarang saatnya bagi kerajaan untuk memanfaatkan sumber domestik Sarawak semasa dan bekerjasama dengan melaksanakan lebih banyak dasar tenaga baharu,” jelasnya.

Dalam pada itu, Chiew mengatakan bahawa kerajaan tidak boleh terus membiarkan rakan sendiri berbicara omong kosong dan dengan sengaja menyemai isu perkauman, agama dan sentimen rantau yang tidak bermanfaat bagi negara dan seluruh warganya ketika menghadapi cabaran besar terhadap prospek ekonomi domestik semasa.

Tambahnya, adalah perlu untuk kerajaan memastikan bahawa masa depan keturunan kita dari semua etnik tidak tergadai.