Kerajaan Sarawak Diminta Melaksanakan Ujian Rt-PCR Di Seluruh Sarawak

351

Kenyataan Media Daripada Chiew Chiu Sing:

Sekiranya Kerajaan Sarawak setuju bahawa ujian Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) diperlukan sebelum memasuki bahagian Bintulu bagi mengawal jangkitan COVID-19, maka ia juga harus dilaksanakan di seluruh negeri ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu Chiew Chiu Sing berkata buat masa ini agak sukar untuk meramal pergerakan virus di Sarawak dengan tepat sekiranya hanya dikawal di Bintulu dan membiarkan virus terus tersebar di kawasan lain yang akhirnya tidak akan membantu mengawal jangkitan ini secara keseluruhannya.

“Mulai Isnin lepas, Bintulu mula melaksanakan kenderaan yang melintasi daerah Bintulu yang perlu ke daerah lain tidak dibenarkan masuk kecuali mempunyai laporan ujian RT-PCR negatif.”

“Ini benar-benar mempengaruhi sistem pengangkutan darat Sarawak dan menimbulkan kesulitan kepada banyak orang sehingga menganggu gaya hidup dan kehidupan mereka dari lokasi asal.”

“Tidak ada orang menentang langkah memerangi jangkitan itu, tetapi semua langkah yang diambil oleh pihak bertanggungjawab harus dibincangkan dan dikoordinasikan dengan semua pihak terlebih dahulu untuk memastikan kekecohan seperti Isnin tidak berlaku,” katanya dalam satu kenyataan media di sini.

Beliau berkata tugas memerangi jangkitan ini memerlukan koordinasi yang komprehensif, perancangan rasional dan kerjasama dari semua pihak lebih-lebih lagi melibatkan tindakan berskala besar.

Menurutnya, jika bimbang orang luar menyebarkan jangkitan terbabit, cukuplah dengan hanya mereka yang akan memasuki Bintulu sahaja melakukan ujian RT-PCR.

Tambahnya, sekiranya ujian ini diperlukan, kerajaan harus memberikan ujian ini kepada semua penduduk dengan membuka perkhidmatan ujian ini di mana-mana tempat sehingga lebih banyak orang dapat melakukannya.

“Pihak berkuasa perlu menubuhkan lebih banyak stesen ujian termasuk dengan pandu lalu dan mesti diuji secara percuma sehingga jangkitan dapat dikawal sepenuhnya.”

“Sekarang kerana keadaan jangkitan di Sarawak masih tinggi, asal usul penyakit itu juga tidak dapat difahami, walaupun perintah kawalan pergerakan telah dilakukan selama beberapa bulan, bagaimanapun sukar untuk memastikan sumbernya (jangkitan), malah boleh merebak ke seluruh negeri,” ujarnya.

Chiew berkata dana awam negara mesti digunakan untuk membuat ujian RT-PCR di seluruh Sarawak demi mencegah penyebaran penyakit.

Beliau berpendapat semua rancangan mencegah jangkitan perlu mempunyai perancangan terperinci dan mengambil kira persekitaran geografi keseluruhan termasuk hulu dan hilir yang jauh.

“Sebagai contoh, kakitangan yang cukup untuk menguji dan mengumpul sampel, dan seterusnya selepas ujian dilakukan jika bilangan yang disahkan positif meningkat, pusat kuarantin juga perlu ditambah. Tuntasnya, pihak kerajaan harus mempunyai rancangan yang terperinci,” gesa beliau.