PROJEK PEMBINAAN DEWAN SERBAGUNA SK JALAN ARANG DIJANGKA SIAP AKHIR TAHUN INI.

901

Kenyataan Media Daripada Abdul Aziz:

Pengerusi DAP Batu Kitang Abdul Aziz Isa membuat lawatan untuk meninjau perkembangan tapak projek pembinaan dewan serbaguna di SK Jalan Arang, DUN Batu Kitang.

Projek yang bernilai RM382,000 tersebut dilaksanakan melalui sistem tender terbuka semasa di bawah pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (“PH”). Ianya telah diluluskan oleh mantan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) YB Chong Chieng Jen melalui dana Peruntukkan Khas Ahli Parlimen Stampin.

Projek tersebut sepatutnya dijangka siap sepenuhnya pada April 2020 namun disebabkan oleh Perintah Kawalan Pergerakkan (“PKP”), maka kerja-kerja pembinaan telah tergendala buat sementara waktu. Walau bagaimanapun, kerja-kerja pembinaan telah disambungkan sejak bulan Julai lepas. Dijangkakan projek pembinaan dewan serbaguna SK Jalan Arang ini akan siap sepenuhnya akhir tahun ini.

Beberapa tahun yang lalu, Persatuan Ibubapa dan Guru (“PIBG”) SK Jalan Arang telah membuat banyak permohonan kepada pihak bertanggungjawab untuk pembinaan dewan serbaguna. Apabila permohonan tersebut pertama kali diajukan kepada YB Chong Chieng Jen, tanpa melengahkan masa, Ahli Parlimen Stampin yang juga merupakan mantan Timbalan Menteri KPDNHEP tersebut telah meluluskan permohonan mereka.

Justeru, apabila siapnya projek pembinaan dewan serbaguna SK Jalan Arang itu nanti, ianya akan memberi kemudahan dan keselesaan kepada para murid, guru dan kakitangan sekolah untuk mengadakan aktiviti sekolah seperti aktiviti kurikulum, sukan, kesenian, akademik, pengurusan dan pelbagai lagi.

Dalam pada itu juga, Abdul Aziz Isa dan Tadika Kastil telah menyumbangkan sebanyak 500 keping pelitup muka. Sumbangan pelitup muka tersebut telah disampaikan oleh Guru Besar Tadika Kastil Kong Ee Xuan kepada Delton yang mewakili Persatuan Ibubapa dan Guru (“PIBG”) SK Jalan Arang. Penyerahan pelitup muka tersebut turut disaksikan oleh Guru Besar SK Jalan Arang Edward Peter Bajat.

Pada 13 Februari 2020 yang lalu, Abdul Aziz Isa telah menyumbangkan sebanyak 1,678 keping pelitup muka kepada 763 murid-murid dan 76 anggota kakitangan pejabat sebagai langkah untuk menangani penularan wabak Covid-19. Selain itu juga, Abdul Aziz Isa telah mengedarkan risalah kesedaran wabak Covid-19 yang dicetak oleh pihak Jabatan Penerangan Negara (“JaPeN”).

Abdul Aziz Isa memberi jaminan bahawa pihaknya melalui Pusat Khidmat Ahli Parlimen Stampin akan terus memberi bantuan dan sokongan kepada pihak SK Jalan Arang dalam usaha membangunkan infrastruktur sekolah, memperkasakan sistem pendidikan dan meningkatkan bantuan kebajikan kepada murid-murid.

08-09-2020
Abdul Aziz Isa
Pembantu Khas YB Chong Chieng Jen
Pengerusi DAP Batu Kitang