Kerajaan Sarawak Diminta Untuk Melanjutkan Diskaun Bil Utiliti

453

Kenyataan Media Daripada Tony Chiew:

Kerajaan Sarawak diminta untuk melanjutkan diskaun bil utiliti yang diperkenalkan di bawah Pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) sehingga Jun tahun depan bertujuan bagi mengurangkan beban rakyat negeri ini yang terkesan ekoran penularan COVID-19.

Setiausaha Publisiti DAP Bintulu Chiew Chan Yew menjelaskan bahawa sekiranya diskaun bil utiliti ini dipanjangkan, ia tidak hanya akan berperanan dalam memacu ekonomi penduduk setempat malah turut membantu industri untuk terus bertahan setelah terpaksa berhadapan dengan masalah yang ditimbulkan oleh COVID-19 dan keadaan global.

“Sarawak Energy adalah entiti perniagaan yang unik dan tidak mempunyai pesaing lain, oleh itu ia harus memenuhi tanggungjawab sosial korporat yang diperlukan semasa wabak ini. Disamping membantu rakyat Sarawak menghadapi kesulitan, ia juga dapat menyelamatkan pekerjaan dan perniagaan.”

“Walaupun diskaun yang tertera di atas bil utiliti yang diberikan bukanlah bantuan tunai, ia pasti dapat mengurangkan perbelanjaan asas bulanan rakyat secara berkesan. Sudah tentu ia juga dapat mengurangkan perbelanjaan perusahaan industri,” katanya dalam satu kenyataan media di sini.

Chiew berkata kerajaan Sarawak baru-baru ini mengumumkan langkah bantuan ini akan dipanjangkan hingga bulan Disember tahun ini dan kita akan memasuki ke tahun 2021 dalam tempoh masa kurang dari satu setengah bulan lagi.

“Kerajaan menjangka ekonomi domestik akan pulih tetapi kita memahami bahawa risiko kemurungan yang disebabkan oleh kemerosotan ekonomi sedang muncul secara beransur-ansur.”

“Kerajaan berharap dapat menyakinkan pelabur tempatan dan luar negara dengan data ramalan yang optimistik. Namun, pelbagai keadaan dan impak sebenarnya mungkin tidak akan terjadi,” ujar beliau.

Sementara itu, Chiew menekankan bahawa banyak syarikat terpaksa memberhentikan pekerja dan menghadapi masalah muflis ekoran dari COVID-19 sehingga menyebabkan peningkatan jumlah pengangguran.

Katanya buat masa sekarang masih belum ada kepastian yang banyak mengenai apa yang akan berlaku pada kehidupan rakyat semasa dan masa depan.

Beliau turut mengulangi bahawa kerajaan perlu mengurangkan beban rakyat terutamanya bagi kumpulan B40 dan M40.

Tambah beliau tarikh akhir perlaksanaan pelbagai bantuan juga perlu dikaji dan disemak setiap masa.