Kerajaan Sarawak Diminta Menunjukkan Keikhlasan Dalam Memberi Bantuan Kepada Industri

360

Kenyataan Media Daripada Tony Chiew:

Kerajaan negeri diminta untuk menunjukkan keikhlasan dan terbuka dalam memberikan bantuan kewangan kepada industri untuk mengekalkan pekerjaan golongan berpendapatan rendah.

Setiausaha Publisiti DAP Bintulu Chiew Chan Yew berkata ketika peningkatan mendadak kes COVID-19 kini, daya membeli rakyat berkurang dengan ketara, oleh itu kerajaan mesti memikirkan sesuatu untuk rakyat Sarawak.

Menurutnya, Fitch Solution mengeluarkan ramalan pertumbuhan ekonomi Malaysia menurun dari 11.5 peratus ke 10 peratus dan ia menggambarkan tekanan ekonomi yang dihadapi oleh masyarakat hari ini.

“Banyak perniagaan kini menghadapi situasi yang sama seperti tahun lalu ketika COVID-19 mula merebak dimana operasi perniagaan mereka begitu perlahan sehingga hampir terpaksa tutup.”

“Pada ketika itu, mereka dapat menanganinya dengan ada bantuan dari kerajaan, sebaliknya hari ini perniagaan seperti restoran menghadapi saat sukar malah untuk membuka pintu demi perniagaan tidak cukup untuk menampung perbelanjaan asas mereka,” katanya dalam satu kenyataan media di sini.

Chiew berkata aliran ekonomi dan populasi Sarawak tidak sebesar di Semenanjung Malaysia dan apabila pasaran menurun, ia amat memberi kesan yang besar.

“Beberapa syarikat bahkan tidak dapat bertahan dan terpaksa ditutup. Perkembangan situasi terkini membimbangkan dan kesannya dapat dirasakan secara terus.”

“Oleh itu, kerajaan Abang Johari mesti berusaha menyelamatkan ekonomi Sarawak dengan membantu industri mengatasi masalah dan mengekalkan pekerjaan rakyat.

“Jangan biarkan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) menjadi pilihan kepada industri untuk tidak bangkit dan kerajaan perlu memastikan rakyat mempunyai wang saku masing-masing,” ujar beliau.

Selain itu, beliau berkata bagi banyak industri, pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang 5.0 yang baharu dilancarkan oleh kerajaan negeri baru-baru ini tidak banyak memberi manfaat kepada mereka.

Disamping itu, katanya banyak industri menghadapi tekanan seperti bayaran sewa, pinjaman, bil utiliti dan gaji pekerja ditambah lagi dengan kekurangan wang saku mereka sendiri untuk hidup.

“Apa yang disebut ‘Sarawakku Sayang’ oleh kerajaan Abang Johari tidak hanya harus dijadikan slogan, tetapi ketika rakyat menghadapi cabaran paling berat dalam sejarah, kerajaan harus proaktif untuk menolong mereka mengatasi kesukaran ini dan menjadi kerajaan yang bertanggungjawab,” katanya.