Tony Meminta Kerajaan Untuk Menyelesaikan Isu Keletihan Kakitangan Barisan Hadapan

386

Kenyataan Media Daripada Tony Chiew:

Kerajaan diminta untuk menyelesaikan segera isu kakitangan barisan hadapan yang berdepan dengan masalah keletihan sejak baru-baru ini akibat daripada peningkatan mendadak kes COVID-19.

Setiausaha Publisiti DAP Bintulu Chiew Chan Yew berkata petugas barisan hadapan juga orang biasa dan tekanan yang mereka alami dalam tempoh 10 bulan terakhir ini jelas bukan tekanan yang dapat ditanggung oleh orang biasa.

Menurutnya, sejak jangkitan wabak ini yang bertambah kembali, kakitangan barisan hadapan terus bersiap sedia untuk menangani kes positif namun kerajaan seolah-olah tidak memberikan perhatian khusus terhadap keperluan mereka.

“Namun kerana kurangnya kesedaran dan arahan dari kerajaan PN (Perikatan Nasional), kes ini semakin buruk setiap hari dengan jumlah kes baharu dicatatkan di negara ini meningkat dua kali ganda dalam tempoh tiga bulan terakhir dan ianya adalah peningkatan terbesar berbanding negara-negara asia lain.”

“Kakitangan perubatan juga mempunyai ahli keluarga dan mereka selalu terdedah dengan risiko jangkitan virus itu bila-bila masa. Mereka tidak hanya bimbang tentang diri sendiri malah juga ahli keluarga apabila mereka pulang ke rumah,” katanya dalam satu kenyataan media di sini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas isu yang sedang hangat diperkatakan apabila ada kakitangan perubatan yang bertugas menangani COVID-19 tidak mempunyai rehat yang juga cukup sejak 10 bulan terakhir ini.

Selain itu, Chiew berkata kerajaan bukan hanya lambat membayar tuntutan elaun mereka malah kerajaan juga baharu mengumumkan pengambilan 3,500 kakitangan perubatan hanya selepas kes meningkat dengan teruk.

“Menteri Kesihatan dan dua Timbalan Menterinya juga menunjukkan prestasi yang sangat buruk, malah seorang daripada timbalan itu berasal dari Sarawak.”

“Walaupun keadaan kes COVID-19 di negara ini semakin memburuk, mereka tidak muncul. Pelaksanaan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) dan PKPB (PKP Bersyarat) di pelbagai tempat masih tidak berkesan untuk mengurangkan kadar jangkitan,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau menekankan bahawa jika dibandingkan dengan negara lain, kerajaan akan bertindak segera setelah terdapat kes yang disahkan, tetapi kerajaan kita masih membenarkan pergerakan orang awam.

Katanya, kini terdapat ribuan kes positif setiap hari selama beberapa bulan dan rekod ini telah mencapai tahap yang tertinggi.

“Lebih-lebih lagi sikap PN yang menyeru orang ramai untuk melakukan kawalan kendiri. Ini dapat dilihat bahawa kerajaan tidak peka terhadap data, hanya bergantung pada petugas barisan hadapan untuk menanganinya dan lebih mengecewakan apabila vaksin dan persiapan tertentu masih ditunggu.”

“Terima kasih kepada kakitangan barisan hadapan atas dedikasi dan kerja keras mereka semasa pandemic ini. Kerajaan mesti menunjukkkan keikhlasan dan berusaha untuk segera menyelesaikan masalah keletihan kakitangan perubatan.”

“Mereka ini bekerja keras di barisan hadapan untuk mencegah penularan wabak dan pada masa yang sama kerajaan harus melayan kakitangan barisan hadapan dengan lebih berperikemanusiaan,” tegasnya.

Sementara itu, Chiew mencadangkan agar kerajaan meningkatkan belanjawan seperti untuk membina tempat rehat bagi petugas barisan hadapan di tempat berkenaan agar mereka dapat berehat secukupnya.

Selain itu, penyediaan makanan dan minuman, senaman dan rehat yang berkualiti perlu dijaga agar mereka dapat kembali bertugas dalam keadaan terbaik.