Kementerian Pendidikan Diminta Menimbang Semula Tarikh Mula Sesi Persekolahan

409

Kenyataan Media Daripada Tony Chiew:

16 JAN 2021 Kenyataan Media Mengenai Sesi Mula Persekolahan

Kementerian Pendidikan (KPM) diminta untuk mendengar pendapat orang ramai dan menimbang semula tarikh mula sesi persekolahan pada 20 Januari ini.

Setiausaha Publisiti DAP Bintulu Chiew Chan Yew berkata isu pembukaan sekolah ini berkait rapat dengan trend peningkatan kes COVID-19 di negara ini amnya dan negeri ini khususnya.

Menurutnya tidak sukar bagi kementerian terbabit memutuskan sama ada ingin menunda sesi persekolahan atau tidak namun kerajaan harus mendengar luahan dan kegusaran rakyat.

“Berbanding dengan menunda tarikh mula sesi persekolahan, ancaman dan akibat virus itu lebih besar. Ini benar-benar tidak wajar meminta guru, kakitangan sekolah dan pelajar untuk mengambil risiko ini.”

“Pada masa ini, jumlah kes yang direkodkan di seluruh negara dan negeri ini telah mencatat peningkatan yang tinggi. Malah COVID-19 di Sarawak juga seakan-akan dapat meletus pada bila-bila masa,” katanya dalam satu kenyataan media di sini.

Selain itu, katanya selain pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), PKP Bersyarat (PKPB) dan proklamasi darurat oleh Yang DiPertuan Agong, KPM tidak mempunyai alasan untuk meminta sekolah memulakan kelas seperti yang dijadualkan.

“Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang seharusnya mengadakan persidangan namun disebabkan COVID-19 telah ditangguhkan, tetapi sekolah yang mempunyai lebih ramai pelajar daripada jumlah ahli parlimen dapat dibuka pula?”

“Bolehkah saya bertanya kepada kepimpinan kerajaan Muhyiddin (Perdana Menteri) apa logiknya? Selain itu, guru, kakitangan sekolah dan pelajar tidak diminta membuat ujian calitan (swab test), seperti yang dilakukan semasa persidangan Parlimen dan DUN,” ujar beliau.

Chiew berkata kerajaan yang tidak dapat menyediakan ujian calitan COVID-19 yang paling asas, jadi tidak harus mendesak sekolah memulakan kelas seperti yang dijadual pada masa kini.

Katanya lagi, keputusan KPM juga menyebabkan ibu bapa berada dalam dilema untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah kerana khuatir akan risiko jangkitan virus, manakala jika mereka tidak menghantar, mereka bimbang akan proses pembelajaran anak-anak mereka.

“Kerajaan tidak mempertimbangkan perasaan guru dan kakitangan, selain peralatan terhad dan keperluan jangka pendek untuk pengajaran dalam talian, mereka terpaksa mengikuti segala arahan baharu yang dikeluarkan serta merta, apatah lagi pengajaran dan pembelajaran semasa pandemik COVID-19 berdepan dengan masalah tekanan yang tinggi,” katanya.

Dalam pada itu, Chiew berkata kerajaan tidak boleh menyalahkan guru dan pelajar selain memperalatkan guru dan kakitangan seperti robot.

“Kemudahan pengajaran dalam talian semua sekolah di negara kita mesti stabil terlebih dahulu, terutama di luar bandar, penambahbaikan tambahan diperlukan untuk mengatasi sebarang perubahan yang berlaku ketika musim wabak ini,” cadangnya.

Antara lain, Chiew menekankan bahawa Gabungan Parti Sarawak (GPS) mesti menunjukkan pendirian yang teguh mengenai isu ini.

Ujarnya, GPS sebagai anggota dalam Perikatan Nasional (PN), mesti memikirkan perkara ini secara rasional dan jangan menggunakan ungkapan ‘pendidikan adalah bidang kuasa persekutan’ untuk melepaskan tanggungjawab. Sememangnya, sikap seperti ini begitu mengecewakan rakyat Sarawak.