MPP Dan JKR Sarawak Perlu Membentuk Jawatankuasa Bersama Untuk Menyelia Sambil Memantau Projek Jejambat Dan Pengurusan Trafik Di Batu 6, Jalan Penrissen

643

Kenyataan Media Daripada Abdul Aziz:

Selepas turun kawasan di Pasar Maong Batu 3 pagi tadi, saya berkesempatan untuk meninjau masalah kesesakan jalanraya di sekitar Batu 6, Jalan Penrissen.

Semalam, pihak Majlis Perbandaran Padawan (“MPP”) yang diketuai oleh pengerusinya, Lo Khere Chiang bersama-sama dengan pihak Jabatan Kerja Raya (“JKR”) Sarawak telah mengiringi Menteri Kerja Raya Fadillah Yusof untuk mengadakan lawatan rasmi bagi meninjau perkembangan tapak projek pembinaan jambatan jejambat dan penutupan persimpangan lampu isyarat di Batu 6, Jalan Penrissen.

Persoalannya, kenapa lawatan rasmi tersebut diadakan pada hari Ahad? Lawatan rasmi tersebut sewajarnya diadakan pada hari kerja (Isnin sehingga Jumaat) supaya pihak Kementerian Kerja Raya (“KKR”) dapat melihat situasi sebenar yang dihadapi oleh pengguna jalanraya yang terpaksa berhadapan dengan kesesakan jalanraya terutamanya ketika waktu puncak: sewaktu hendak turun kerja, sewaktu keluar makan tengahari dan sewaktu pulang dari kerja.

Rata-rata pengguna jalanraya meluahkan rasa kekecewaan mereka dalam laman sosial media dan mempersoalkan kewajaran pihak MPP, JKR Sarawak dan KKR mengadakan lawatan rasmi tersebut pada hari Ahad. Hal ini kerana, pada hari Ahad, jumlah kenderaan yang melalui kawasan tersebut adalah kurang berbanding pada hari kerja. Justeru, bagaimana pihak MPP, JKR Sarawak dan KKR dapat melihat gambaran sebenar masalah kesesakan jalanraya jika lawatan rasmi tersebut diadakan pada hari Ahad?

Sepatutnya, pihak MPP dan JKR Sarawak menubuhkan Jawatankuasa Bersama (“Joint Committee”) bagi memastikan keberkesanan dan kecekapan projek pembinaan jambatan jejambat dan pengurusan aliran trafik. Ini adalah untuk memudahkan urusan komunikasi antara kedua-dua pihak dalam memastikan masalah kesesakan jalanraya dapat dikawal dan diurus dengan teratur. Bukannya setiap kali berlaku kesesakan jalanraya akibat penutupan jalanraya, setiap kali itu juga pihak MPP turun kawasan untuk mengambil video. Tidak salah kalau hendak mendapatkan publisiti tetapi biarlah ianya bersesuaian dengan masa.

Sepekara lagi yang ingin saya sentuh adalah mengapa pihak kontraktor yang dilantik oleh pihak JKR Sarawak dilihat hanya membuat kerja di lapangan pada siang hari sahaja dan tidak diteruskan pada waktu malam? Bukankah jika kerja di lapangan tersebut diteruskan pada waktu malam, ianya dapat mempercepatkan lagi projek dan mengatasi masalah kesesakan jalanraya? Memandangkan hanya pihak MPP dan JKR Sarawak sahaja yang mempunyai maklumat lengkap akan projek ini, bolehkan pihak JKR Sarawak mendedahkan terma dan syarat yang dimeteraikan antara JKR Sarawak dengan pihak kontraktor agar rakyat boleh memantau keberkesanan dan kecekapan projek ini?

Malah, mengapa terdapat sebahagian daripada kawasan projek tersebut berada dalam keadaan gelap gelita pada waktu malam? Hal ini kerana sepanjang pengamatan saya, terdapat kawasan yang mempunyai ‘blinker light’ yang mencukupi dan terdapat juga kawasan yang tidak mempunyai ‘blinker light’ yang mencukupi. Kekurangan ‘blinker light’ di beberapa kawasan projek ini amat membahayakan pengguna jalanraya terutamanya pada waktu malam.

Kita tidak menolak projek pembangunan yang dilaksanakan samada oleh pihak kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri mahupun kerajaan tempatan. Jika projek pembangunan tersebut memberi manfaat kepada rakyat, nescaya kita akan memberikan sokongan. Walau bagaimanapun, biarlah projek pembangunan tersebut dilaksanakan secara holistic dengan mengambilkira faktor keselamatan awam, faktor keberkesanan, faktor kecekapan dan faktor masa.

Saya mendesak pihak MPP dan JKR Sarawak untuk menubuhkan Jawatankuasa Bersama bagi memastikan kelancaran projek pembinaan jambatan jejambat dan pengurusan aliran trafik di Batu 6, Jalan Penrissen.