DAP Miri memberi sumbangan kepada Pejabat Kesihatan Miri

1030

Kenyataan Media Daripada Alan Ling:

DAP Miri menyumbang sebanyak 500 keping pelitup separuh muka, 550 botol pensanitasi tangan dan 8 kotak buah limau ke Pejabat Kesihatan Bahagian Miri pada pagi ini.

Sumbangan telah disampaikan ketika sesi penyerahan ringkas beliau ke Pejabat Kesihatan Bahagian Miri yang disambut mesra oleh Pegawai Kesihatan (Medical Officer) Dr Wong Yong Kai, Ketua Jururawat Kesihatan Sister Wini Chundau dan Penyelia Jururawat Kesihatan Matron Nelly.

“Sumbangan ini adalah sebagai langkah awal pencegahan penularan wabak Covid-19 memandangkan berlaku peningkatan kes sejak akhir-akhir ini manakala buah limau adalah simbolik kepada sambutan Tahun Baru Cina yang bakal menjelang tidak lama lagi,” kata Ling yang juga settiausaha Parti Tindakan Demokratik Sarawak.

Beliau berkata masyarakat amat menghargai khidmat bakti pasukan barisan hadapan yang bertungkus lumus menjalankan tugas dengan penuh dedikasi bagi memerangi penularan wabak Covid-19.

Sehubungan dengan itu, Ling mengucapkan ribuan terima kasih dan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua petugas barisan hadapan Pejabat Kesihatan Bahagian Miri yang komited dan berdedikasi menjalankan tugas untuk orang awam dan negara terutama semasa tempoh pandemik yang serius kini dan kebanyakan mereka terdedah kepada risiko yang tinggi sehingga ada yang dijangkiti dan sedang menerima rawatan.

“Tekanan (stress) mereka adalah tinggi khasnya sejak kebelakangan ini kerana peningkkatan kes mendadak, tetapi kesemua mereka telah menunjukkan semangat yang tinggi.

Beliau menasihati orang ramai supaya sama-sama membantu dalam mencegah penyebaran wabak ini dan memberi penghargaan kepada pembaris hadapan dengan cara masing-masing kerana pengkorbanan pegawai perubatan adalah sangat nyata.

Hadir bersama ketika lawatan adalah Ketua Pemuda DAPSY Sarawak Peter Hee, Pengerusi DAP Long Lama Marcus Hugo dan Pembantu Khas kepada Senator Alan Ling iaitu Lawrence Low.