Bantuan makanan perlu diteruskan selagi PKP dilanjutkan

749

Media Statement Daripada Alan Ling:

Bantuan makanan berterusan diperlukan oleh rakyat yang terkesan oleh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah dilanjutkan sehingga 12 Mei depan.

Setiausaha Pakatan Harapan (PH) Sarawak Senator Alan Ling berkata, bantuan makanan yang diterima sebelum ini pasti tidak mencukupi untuk keperluan dalam tempoh panjang.

“Oleh kerana tempoh PKP telah dilanjutkan, saya berharap kerajaan negeri akan meneruskan bantuan makanan kepada rakyat kita yang juga kehilangan pendapatan ketika PKP dilaksanakan,” jelas Ling.

Beliau berharap proses penghantaran makanan fasa baru akan dipercepat dan diagihkan kepada mereka yang layak.

Ling juga berterima kasih kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang turut aktif menghulurkan bantuan kepada rakyat.

“Berbanding kerajaan, sumber sumbangan pihak NGO adalah terhad tetapi ia sedikit sebanyak membantu mengurangkan beban rakyat kita ketika PKP ini,” jelasnya.

Proses pengagihan yang bersistematik dan terancang harus dilaksanakan termasuk maklumat tarikh dan waktu penyerahan.

Beliau juga berterima kasih kepada individu dan sukarelawan yang turun padang menghulurkan bantuan kepada rakyat.

“Ini menggambarkan keprihatinan dan kasih sayang kita kepada mereka yang susah dan sokongan kita untuk bersama-sama memerangi wabak ini,” katanya.

Sehubungan itu, rakyat diminta terus bersabar dan mematuhi arahan PKP demi manfaat dan keselamatan semua, katanya.