Menteri Pendidikan Harus Mengkaji Dasar Persekolahan Dengan Fleksibel Semasa Epidemik COVID-19

414

Kenyataan Media Daripada Tony Chiew:

Kenyataan Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin yang tidak akan menangguhkan sesi persekolahan walaupun kes jangkitan COVID-19 melonjak naik membuatkan kebimbangan buat ibu bapa, guru dan murid.

Setiausaha Publisiti DAP Bintulu Chiew Chan Yew berkata salah satu tugas utama Menteri Kanan Pendidikan adalah untuk mengkaji dasar sekolah setiap hari dan membuat perubahan yang fleksibel dan bukannya memutuskan untuk tidak akan menangguhkan persekolahan walaupun keadaan jangkitan masih tidak menentu.

“Selagi penularan jangkitan ini belum berakhir, Kementerian Pendidikan mesti melaksanakan dasar yang fleksibel sesuai dengan keadaan semasa penyakit ini terutamanya berkaitan pembukaan sekolah. Tetapi, sebagai Menteri Kanan Pendidikan, kenyataan terbabit sangat tidak cukup bertanggungjawab.

“Bukan hanya di sekolah, banyak orang dari pelbagai lapisan masyarakat bimbang akan ancaman wabak menular di sekolah. Ironinya adalah bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak membenarkan parlimen yang mempunyai 222 ahli bersidang ketika ini, tetapi telah membenarkan ratusan hingga ribuan sekolah membuka sesi persekolahan,” katanya dalam satu kenyataan media di sini.

Chiew berkata sejak beberapa minggu kebelakangan ini, jumlah kes positif di Sarawak dalam keadaan yang sangat membimbangkan apabila berada antara tiga teratas di negara ini.

Katanya lagi, walaupun pada keadaan yang semakin tidak terkawal ini, Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak tidak membuat apa-apa kenyataan berhubung perkara ini.

“Jelas Menteri Pendidikan tidak menyedari keprihatinan rakyat, kerajaan tetap mahu memulakan kelas pada 15 Mac lalu. Walaupun terdapat kes positif yang berulang kali dilaporkan di sekolah baru-baru ini, menteri bukan sahaja tidak mengkaji semula dasar pembukaan sekolah, tetapi memutuskan tidak akan menangguh persekolahan pada masa hadapan.”

“Penularan jangkitan COVID-19 di negara ini adalah salah satu yang paling lama di dunia dan masih dalam keadaan turun menaik malah masyarakat kini masih menunggu untuk divaksinkan,” ujarnya.

Oleh yang demikian, Chiew berharap Menteri Kanan Pendidikan lebih memperhatikan keprihatinan ibu bapa, guru dan pelajar tentang kebimbangan jangkitan dan memandang serius bahaya lonjakan kes yang disahkan dan keperluan untuk kaji semula dasar pembukaan sekolah setiap masa.