MPP Diminta Ambil Tindakan Segera

453

Kenyataan Media Abdul Aziz:

Hari ini, saya telah menghubungi pihak Unit Aduan Bahagian Kejuruteraan Majlis Perbandaran Padawan (“MPP”) untuk bertanyakan status aduan saya berhubung dengan masalah tanah runtuh yang berlaku di Kpg Semeba, DUN Batu Kitang.

Masalah kejadian tanah runtuh di kawasan tanah milik En Raymond Moseg yang berlaku pada pada 19 Feb 2021 telah saya ajukan kepada pihak Unit Aduan Bahagian Kejuruteraan MPP. Memandangkan kes wabak Covid-19 meningkat pada masa itu, maka saya telah membuat aduan melalui panggilan telefon agar pihak MPP dapat mengambil tindakan yang pantas bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.

Walau bagaimanapun, sehingga hari ini (23 Mac 2021), pihak MPP gagal mengambil sebarang tindakan untuk menyelesaikan masalah tanah runtuh tersebut. Apabila saya menelefon Puan Philo dari Unit Aduan Bahagian Kejuruteraan, beliau memberitahu saya bahawa beliau telah mengambil maklum akan aduan yang saya buat dan telah diberikan kepada Encik Azizul iaitu Pembantu Kejuruteraan Bahagian Kejuruteraan MPP.

Pertama, aduan sudah dibuat oleh saya kepada Unit Aduan Bahagian Kejuruteraan MPP. Kedua, pihak Unit Aduan Bahagian Kejuruteraan MPP telah mengambil maklum aduan tersebut. Ketiga, aduan telah disampaikan kepada Pembantu Kejuruteraan. Persoalannya, kenapa masih tiada tindakan yang diambil? Mengapa pihak MPP melengahkan isu Ini sehingga berlarutan selama 33 hari? Sedangkan saya telah mengikut prosedur yang betul dengan membuat aduan kepada Unit Aduan Bahagian Kejuruteraan MPP.

Malah, pada hari kejadian, anggota polis dari Balai Polis Kota Sentosa juga turut bersama saya untuk meninjau tempat berlakunya tanah runtuh tersebut. Semestinya pihak Balai Polis Kota Sentosa mempunyai rekod dalam buku mereka berhubung kejadian tanah runtuh tersebut.

Ini bukan kali pertama pihak MPP lambat untuk mengambil tindakan terhadap aduan yang dibuat oleh orang awam. Dahulu juga pihak MPP tidak mengambil sebarang tindakan untuk menyelesaikan masalah kumbahan najis di Taman Flora Indah Jalan Arang. Namun, apabila saya turun padang, masalah tersebut selesai kurang dalam tempoh 24 jam.

Saya berpendapat bahawa kualiti perkhidmatan MPP masih mundur. Hal ini kerana karenah birokrasi dalam MPP sendiri menyebabkan kualiti perkhidmatan meraka lembab. Saya mendesak agar pihak MPP segera bertindak untuk menyelesaikan masalah ini. Jangan tunggu sehingga tahun depan untuk mengambil tindakan.

23.03.2021
Abdul Aziz Isa
Pembantu Khas YB Chong Chieng Jen
Pengerusi DAP Batu Kitang
Ketua Pemuda Socialis DAP (DAPSY) Stampin