DAP Bintulu Menggalakkan Masyarakat Menerima Vaksin COVID-19

390

Kenyataan Media Daripada Tony Chiew:

Dalam usaha menggalakkan masyarakat menerima vaksin COVID-19, DAP Bintulu mengambil inisiatif mengunjungi kedai dan pusat komersial sekitar bandar Bintulu sejak semalam (18 Mac) bagi membantu orang ramai mendaftar vaksin COVID-19.

Setiausaha Publisiti DAP Bintulu Chiew Chan Yew berkata sejak pendaftaran vaksin COVID-19 dibuka pada 24 Februari lalu, selepas tiga minggu seramai 500,000 orang telah mendaftar melalui aplikasi MySejahtera dan telah dimasukkan ke dalam senarai.

Menurutnya, data sehingga 15 Mac mencatatkan seramai 5.6 juta penduduk telah mendaftar menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

“Bagaimanapun, jumlah pendaftaran baru-baru ini mulai perlahan, contohnya, jumlah pendaftaran harian pada 14 dan 15 Mac adalah kurang daripada 100,000 sehari.”

“Ini sebenarnya adalah dilema yang dihadapi oleh banyak negara di dunia kerana bimbang masyarakat akan kehilangan minat untuk mendaftar mendapatkan vaksin COVID-19, dan lebih banyak usaha diperlukan untuk mencapai imuniti kelompok,” katanya dalam satu kenyataan media di sini.

Chiew berkata setelah dimaklumkan oleh Pejabat Kesihatan Bahagian Bintulu, didapati hanya kira-kira 20 lebih peratus daripada 200,000 populasi penduduk Bintulu yang mendaftar untuk mendapatkan vaksinasi.

Katanya keadaan seperti ini membimbangkan dan ia akan mempengaruhi matlamat 70 peratus imuniti kelompok yang diharapkan pada suku keempat tahun ini.

“Oleh itu, kami akan mengunjungi kedai dan pusat komersial serta pada masa yang sama memperluaskan ruang lingkup dan mendirikan kaunter perkhidmatan agar lebih banyak orang dapat mendaftar dengan lancar.”

“Kita harus lebih menitik beratkan proses pendaftaran dan pemberian vaksin, dan mengambil tindakan proaktif untuk meningkatkan kecekapan, mempercepatkan dan mempromosikan secara meluas dan mencapai imuniti kelompok yang diharapkan. Hanya dengan cara ini kita dapat kembali ke rutin harian seperti sedia kala,” ujarnya.