Penggunaan Perkataan “Allah” Oleh Agama Lain Tidak Harus Jadi Isu Perselisihan Faham

101

Kenyataan Media Daripada Brolin Nicholsion:

Baru – baru ini, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan semakan kehakiman oleh seorang penganut Kristian dari Sarawak untuk melarang penggunaan perkataan ALLAH adalah tidak sah dan melanggar perlembagaan.

Ini telah menarik pelbagai reaksi dari pelbagai pihak. Malah ramai yang tidak berpuas hati dengan keputusan mahkamah tersebut.

Malah Ahli Majlis tertinggi UMNO, Razlan Rafii juga mengeluarkan kenyataan diman beliau mengatakan umat Islam sedia turun ke jalanraya jika kerajaan gagal bertindak berhubung keputusan Mahkamah Tinggi tersebut.

Kepada Razlan Rafii, tidak perlulah beliau menyekat hak kami non-muslim sebagai rakyat Malaysia untuk bebas beragama. Jangan jadikan isu ini sebagai tembok pemisah bagi kita di Malaysia.

Kami di Sabah dan Sarawak telah lama menggunakan perkataan tersebut malah sahabat kami yang beragama Islam di Sabah dan Sarawak ini tiada bantahan langsung dan mereka tiada masalah dengan penggunaan Kalimah Allah.

Malah, bekas Ketua Menteri kami Allahyarham Tan Sri Adenan Satem membenarkan umat kristian di Sarawak menggunakan perkataan Allah tersebut.

Contohi la Sarawak, dimana umat Islam tidak keliru dengan penggunaan perkataan Allah, dimana Umat Islam boleh duduk semeja di kopitiam cina. Jangalah kita menggunakan isu ini sebagai alasan kita untuk memperjuangkan agama kita.

Fokus utama kita yang ada peganggan agama haruslah membanteras rasuah, penindasan dan salah guna kuasa di negara ini. Bukankah Tuhan membenci semua hal tersebut? Bukankah Tuhan mencipta kita supaya kita mengasihi saudara kita seperti mana kita mengasihi diri kita sendiri?

Isu ini telah menjadi punca perselisihan faham kepada kita sejak beberapa tahun kebelakangan ini, jadi untuk memulakan dekad baru sebagai rakyat Malaysia, marilah kita melangkah kehadapan sebagai rakyat Malaysia yang bersatu hati dan lupakan hal yang boleh memisahkan kita sebagai rakyat Malaysia.

Berpeganglah pada prinsip rukun negara iaitu ‘Kepercayaan kepada Tuhan’ dan ‘Kesopanan dan Kesusilaan’ nescaya, Tuhan pasti membawa Malaysia menjadi sebuah negara maju, tetapi semua ini tidak akan berhasil jikalau tiada kerjasama secara kolektif dari semua kita, rakyat Malaysia.