Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen(PSC) Kesihatan, Sains & Inovasi Akan Bermesyuarat Bincang Pendekatan Negara Terhadap Covid-19 Dan Perkembangan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan(PICK).

506

Kenyataan Media Daripada Kelvin Yii:

Dengan menjunjung titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dalam kenyataan media pada 28 Julai 2021, Selasa. bahawa Seri Paduka Baginda menzahirkan pandangan supaya Parliament terutama sekali Jawatankuasa-Jawatankuasa Pilihan Parlimen ke-14 hendaklah meneruskan sesi-sesi mesyuaratnya sebagai mekanisme semak dan imbang bagi menjamin tadbir urus yang telus, berintegriti dan bertanggungjawab khususnya dalam menangani isu-isu dasar awam dan kemasyarakatan serta hal ehwal kewangan dan perbelanjaan negara.

Sehubungan itu, saya selaku Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas PARLIMEN(PSC) Kesihatan, Sains & Inovasi ingin memaklumkan kepada YB Datuk bahawa Jawatankuasa ini bercadang mengadakan mesyuarat pada 23 Julai 2021, Jumaat, jam 9.30 pagi ataupun mana-mana tarikh yang lebih awal disebabkan isu-isu kesihatan terutamanya isu Covid-19 yang semakin terdesak di negara kita.

Pada 2 Julai 2021, negara kita telah mencatat sebanyak 6982 kes Covid-19, kematian sebanyak 73 dan kadar positif sebanyak 7.88%, walaupun telah melalui Perintah Kawalan Pergerakan(PKP) atau “lockdown” hampir sebulan. Yang lebih membimbangkan, adalah bagaimana hospital-hospital di seluruh negara terutamanya di Lembah Klang semakin sesak dan berdepan tekanan hebat dengan wad Covid-19 kini menampung pesakit melangkaui kapasitinya.

Situasi ini adalah membimbangkan terutamanya dengan penularan tiga varian baharu yang lebih ganas iaitu varian Beta B.1.351 (Afrika Selatan), Delta B.1.617.2 (India) dan Alpha B.1.1.7 (UK).

Disebabkan itu, Majlis Keselamatan Negara(MKN) juga telah memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan(PKPD) di mukim-mukim di Selangor dan beberapa lokaliti di WP Kuala Lumpur selama 14 hari bermula 3 Julai 2021 sehingga 16 Julai 2021

Semua perkara ini termasuk perkembangan PICK haruslah dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas PARLIMEN(PSC) Kesihatan, Sains & Inovasi secepat mungkin bersama semua ahli Jawatankuasa dan orang-orang yang mempunyai kepakaran dan kemahiran di bawah Peraturan Mesyuarat 83(2) untuk membincangkan pendekatan terhadap Covid-19 di negara ini dan juga perkembangan program vaksinasi kebangsaan negara (PICK).

Selain daripada itu, seperti yang termaktub di bawah Peraturan Mesyuarat 86, Jawatankuasa Pilihan Khas ini juga akan menyiapkan dan membentangkan penyata Jawatankuasa yang mengandungi syor-syor berkaitan dengan isu ini berdasarkan perbincangan dengan pakar-pakar dari semua sektor termasuk sektor swasta, academia, NGO dan lain-lain. Ini

Saya yakin bahawa dengan dengan mengoptimumkan fungsi dan peranan Jawatankuasa Pilihan Khas ini seperti di atas ianya akan membantu Kerajaan dalam mencari jalan penyelesaian yang tuntas, pantas dan juga pendekatan yang efektif berdasarkan sains dan data. Ia juga penting untuk untuk menjamin ketelusan pendekatan kerajaan terhadap Covid-19 dan juga mengaktifkan satu pendekatan “whole of society, whole of government” untuk menangani isu ini.

PSC akan mematuhi Prosedur Operasi Standard (POS) Parlimen berhubung pandemik Covid-19 seperti yang digariskan pengurusan Parlimen, Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Jawatankuasa ini juga terbuka untuk mengadakan mesyuarat ini secara hybrid sekiranya tidak melanggar mana-mana Peraturan Mesyuarat Majlis-Majlis Dewan Rakyat.

Dr KELVIN YII LEE WUEN
PENGERUSI
Jawatankuasa PSC Kesihatan, Sains & Inovasi
Merangkap Ahli Parlimen Bandar Kuching