Pindaan Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan dijangka dibentang pada 8-9 April

562

KUCHING: Pindaan Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan dijangka akan dibentang pada 8 dan 9 April depan di persidangan Parlimen.

Ahli Parlimen Stampin, Chong Chieng Jen berkata Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan bagi menjadikan Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi dengan Semenanjung itu dibentang sejurus sesi perbahasan dan penggulungan ucapan daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Kami telah menerima surat pekeliling dalaman yang mahu semua wakil rakyat menghadiri persidangan Parlimen pada 8 dan 9 April, yang mungkin menyaksikan pembentangan pindaan berkenaan.

“Pekeliling dalaman mengarahkan semua wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) wajib hadir pada hari terbabit di Parlimen,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Kempen Kesedaran Bir Tak Sah Bagi Peniaga peringkat Negeri di sini, hari ini.

Chong yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berkata pada kebiasaannya bahas dan penggulungan ucapan daripada Yang di-Pertuan Agong mengambil masa tiga minggu.

“Selalunya selepas itu ia diikuti Rang Undang-Undang yang mahu dibentangkan untuk dibaca kali pertama.

“Maka itu kemungkinan bacaan pertama pindaan dalam minggu hadapan dan ia adalah perkara rasmi sebelum pembentangan pindaan dibuat,” tegasnya.

Ditanya mengenai lebih lanjut mengenai Pindaan Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan Chong yang juga Pengerusi PH Negeri menegaskan, ia hanya akan diketahui selepas bacaan pertama.

Menurut beliau ia termasuk bahan secara bertulis mengenai pindaan yang akan diberikan kepada semua Ahli Parlimen.

Sebelum ini kerajaan bersetuju membuat pindaan dalam Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan bagi menjadikan Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi dengan Semenanjung.

Ia akan dibentangkan oleh Jawatankuasa Teknikal dan Kerja Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) mengenai hak sama rata Sabah dan Sarawak dengan Semenanjung dalam sidang Dewan Rakyat yang bermula Isnin ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Datuk Liew Vui Keong berkata pindaan itu memerlukan dua pertiga suara majoriti di Dewan Rakyat yang mana Pakatan Harapan (PH) kini mempunyai 135 Ahli Parlimen. – Utusan Borneo Online