Bir tak sah undang risiko mudarat kesihatan: Chong

1246

KUCHING: Penggunaan produk seperti bir tak sah berisiko untuk memudaratkan kesihatan kepada mereka yang mengambilnya.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KDPNHEP) Chong Chieng Jen berkata, bir tak sah membahayakan pengguna kerana kaedah pembuatan dan bahan kandungannya tidak diketahui selain meragukan.

Menurut beliau, terdapat dua jenis bir tak sah, pertama bir tiruan dan kedua bir yang tiada stem duti atau lebih dikenali bir seludup.

“Bagi bir tiruan, apa yang harus menjadi kebimbangan kita ialah dari mana atau bagaimana bir itu dibuat sama ada mengikuti peraturan yang betul atau tidak.

“Ini kerana ia dikhuatiri mengancam kesihatan pengguna, sebagai contoh pada tahun lepas tragedi keracunan minuman alkohol berlaku di Semenanjung Malaysia menyebabkan kematian kepada lebih 40 orang.

“Kita tidak mahu perkara seperti ini berlaku dan diharapkan peniaga mahupun pengguna membeli serta menjual produk yang sah bagi mengelakkan perkara sedemikian,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Kempen Kesedaran Bir Tak Sah Bagi Peniaga Peringkat Negeri anjuran KPDNHEP bersama Confederation Of Malaysian Brewers Berhad (CMBB) yang dihadiri Timbalan Pengarah Penguatkuasaan (Cawangan Operasi Khas) KPDNHEP Rosli Ahmad di sini, semalam.

Chong berkata, dari aspek bir tak sah yang tiada stem duti, ia pastinya akan membawa kerugian besar kepada pendapatan negara.

Beliau memberitahu, ini kerana produk tidak sah tanpa kebenaran pihak berkuasa adalah mereka yang tidak membayar cukai atau tidak mematuhi peruntukan undang-undang yang dikuatkuasakan di negara ini.

“Ekoran penyeludupan bahan atau produk tak sah seperti ini, kerajaan mengalami kerugian besar, namun jika pengguna membeli barangan sah, hasil cukai daripada itu membantu kerajaan untuk melaksanakan pembangunan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Hal Ehwal Korporat Heineken Malaysia Berhad yang juga wakil CMBB Shagivarnam G. Ratnam berkata, berdasarkan anggaran industri bir, sekurang-kurangnya setahun satu juta hektoliter (hl) adalah bir tak sah di negara ini.

“Mengambil kira duti eksais dan cukai import kini, industri mengalami kerugian besar sehingga RM1.5 bilion.

“Sebagai contoh, 1 juta hl (bir tak sah) dikali atau darab dengan RM8.75 per liter, ia membawa kepada jumlah RM875 juta dan itu tidak termasuk kerugian dari segi cukai import,” katanya.

Timbalan Pengarah II Jabatan Kastam Diraja Malaysia Austin James Nieet pula berkata, harga murah bir tak sah menjadi faktor utama Sarawak dan Sabah khasnya menjadi negeri paling tinggi penyeludupan barangan berkenaan.

“Jika dilihat Sarawak dan Sabah negeri paling tinggi permintaan bir tak sah ini disebabkan harganya yang murah dan kedua, ia mungkin disebabkan geografi kedua-dua negeri yang kebanyakan mungkin menjadi jalan mudah kepada penyeludup membawa masuk bahan ini,” katanya. – Utusan Borneo Online