Ucapan Usul Menjunjung Kasih Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong oleh YB Alice Lau

2249

Ucapan Usul Menjunjung Kasih Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong oleh YB Alice Lau:

Terima kasih Tuan Yang Di-Pertua kerana memberi peluang kepada Lanang untuk membahaskan Usul Menjunjung Kasih Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong di atas Titah Tuanku di Dewan ini.

1. Pertama sekali, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada YB Menteri Pengangkutan atas usaha beliau untuk menambahkan penerbangan pesawat ke Sibu dan Sarawak pada masa perayaan Tahun Baru Cina bulan lepas. Bukan sahaja penambahan sebanyak 20 peratus kapasiti penerbangan oleh 3 syarikat penerbangan utama, AirAsia juga telah menambah penerbangan lewat malam dengan tambang rendah dari Kuala Lumpur ke Sibu dan Johor Bahru ke Sibu dengan RM149 sehala pada musim perayaan Tahun Baru Cina. Itu tidak pernah dilakukan oleh Kerajaan Barisan Nasional bertahun-tahun walaupun isu ini telah saya bangkitkan banyak kali di Dewan yang mulia ini sejak tahun 2013.

Jadi, saya ingin tahu, berapakah rakyat Sarawak yang bermanfaat dan dapat balik ke Sarawak untuk bersama keluarga mereka pada Tahun Baru Cina bulan lepas dengan penambahan  extra midnight flight ini dan juga penambahan sebanyak 20 peratus kapasiti penerbangan? Apakah rancangan Kementerian untuk perayaan-perayaan yang akan datang, termasuk Hari Gawai dan Raya yang akan datang.

Walaupun sudah ada tambahan penerbangan, saya minta lagi supaya harga tiket penerbangan boleh dikaji semula terutama pada musim perayaan. Ini disebabkan harga tiket masih tinggi terutamanya pada musim perayaan. Saya bagi contoh, KL-Sibu, pada tahun baru Cina lepas, untuk penerbangan biasa, harga tiket telah mencecah hampir RM 1000 sehala.

Saya dimaklumkan kajian MAVCOM telah menunjukkan harga siling tidak digalakkan atas sebab komersial dan ketidaksesuaian untuk dijalankan sepanjang tahun. Akan tetapi saya berharap cadangan “menetapkan harga siling pada musim perayaan sahaja” boleh dikaji semula dan dipertimbangkan. 

Selain itu, saya difahamkan bahawa kerajaan telah menetapkan harga siling ke atas semua laluan Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS) yang disediakan oleh MASwings. Akan tetapi, harga yang ditetapkan masih agak tinggi dan tidak mampu dibayar oleh rakyat Sarawak yang tidak ada pilihan lain. Sekali lagi, saya ingin minta supaya kementerian dapat mengkaji semula harga siling bagi setiap laluan RAS dan mengumumkan harga siling bagi setiap laluan supaya rakyat tahu apakah harga maksima yang perlu dibayar untuk setiap laluan MASwings. Ini adalah untuk menjaga kepentingan rakyat.

Selain itu, saya ingin minta supaya harga sewa kaunter teksi di Lapangan Terbang Sibu yang terlalu tinggi iaitu sebanyak RM3000 lebih dapat dikecualikan atau sekurang-kurangnya dikurangkan sebanyak separuh, memandangkan kewujudan GrabCar banyak mempengaruhi bisnes pemandu teksi di kawasan Sibu terutamanya di Lapangan Terbang Sibu. Jadi, saya minta budi baik Menteri untuk bincang dengan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) supaya dapat menolong golongan teksi tersebut.

2. TYP, seterusnya saya ingin menyentuh isu Lebuhraya Pan Borneo di Sarawak. Isu ini sudah berkali-kali saya bawa ke Dewan yang mulia ini. Sekarang, Lebuhraya Pan Borneo ini telah digelar sebagai “Pain Borneo Hellway”. Kemalangan berlaku hampir setiap hari. Saya ingin minta Kementerian menyatakan berapakah jumlah kemalangan yang telah berlaku di Jalan Pan Borneo ini sejak pembinaan lebuhraya bermula dan bilangan nyawa yang terkorban.

Hampir setiap hari saya terima aduan tentang kerosakan jalan raya dari Sibu ke Bintulu dan Miri. Antara aduan yang saya terima adalah kerja penyelenggaraan jalan raya di Sibu dan Selangau dimana ia boleh dikatakan paling teruk. Keadaan jalan yang berlubang-lubang, tidak rata serta dipenuhi lopak-lopak terutamanya pada musim hujan telah mengundang bahaya serta mengancam keselamatan pengguna jalan raya.

Pada bulan Januari tahun lepas, saya dan wakil rakyat DAP yang lain telah membuat lawatan ke jalan-jalan tersebut yang selalu rosak untuk melihat dengan mata kami sendiri, dan pada masa itu kami sudah mendapati bahawa keadaan jalan raya memang teruk dan sangat merbahaya untuk kegunaan pengguna jalan raya.

Saya juga telah membuat aduan rasmi kepada Kementerian Kerja Raya pada masa itu. Namun begitu, aduan daripada orang ramai berkenaan keadaan jalan tersebut masih berterusan. Oleh itu, kami sekali lagi membuat aduan rasmi dan berharap masalah ini dapat diselesaikan secepat mungkin.

Saya ingin berterima kasih kepada pihak Kementerian kerana setelah menerima aduan kami, mereka telah mengambil langkah pertama untuk bertindak atas aduan yang telah diberi dengan membuat pemeriksaan bersama Pegawai Khas Kementerian Kerja Raya terhadap keadaan jalan-jalan tersebut di beberapa tempat.

Oleh itu, kami sekali lagi membuat pemeriksaan dengan Pegawai Khas Kementerian Kerja Raya YB See Chee How pada bulan Februari iaitu bulan lepas supaya beliau dan pegawai beliau dapat melihat dengan mata sendiri keadaan jalan raya tersebut. Memang tidak ada sesiapa pun yang dapat menafikan keadaan jalan raya tersebut adalah teruk dan amat berbahaya.

Kami juga telah berjumpa dengan wakil daripada kontraktor-kontraktor Sibu dan Selangau, Lebuhraya Borneo Utara Sdn Bhd (LBU) dan JKR. Kami telah mendengar dan cuba memahami sebab-sebab kenapa jalan tersebut selalu rosak dan juga masalah yang dihadapi oleh mereka.

Walaupun kerajaan telah meluluskan RM3.43juta untuk kerja-kerja penyelengaraan berkala di luar dari kontrak (WPC: Work Package Contractor) tetapi saya rasa peruntukan tersebut tidak digunakan secara berhemah kerana keadaan jalan masih teruk.

Sebagai contoh, kontraktor telah berjanji untuk memperbaiki jalan-jalan yang rosak dalam masa 48 jam sebelum Tahun Baru Cina yang baru lepas, dan telah mengambil masa 2 hari untuk memperbaikinya, tetapi selepas 2-3 hari kemudian, kualiti kerja adalah tidak memuaskan dan jalan menjadi rosak lagi. Saya berharap kementerian boleh memandang serius perkara ini. Saya ingin bertanya bagaimanakah wang tersebut digunakan dan langkah-langkah yang boleh dilakukan untuk memastikan peruntukan tersebut digunakan dengan baik.

Oleh itu, saya rasa kita perlu mencari penyelesaian yang efektif untuk menangani masalah ini dan tidak lagi dibiarkan berlarutan untuk berbulan-bulan ataupun bertahun-tahun. Selepas pemeriksaan yang dilakukan dan pegawai Kementerian, saya berharap mereka akan membuat pembaikan yang sepatutnya secepat mungkin untuk  memastikan keselamatan pengguna jalan raya terjamin setiap masa.

Tuan Yang Di-Pertua,

Selain itu, kami juga menghadapi isu gangguan bekalan air di rumah-rumah yang berhampiran dengan pembinaan Lebuhraya Pan Borneo terutamanya di kawasan Lanang dan Julau. Saya menerima banyak aduan bahawa ada di antara mereka tidak mendapat bekalan air selama beberapa hari. Malah tidak ada orang yang menghantar air kepada mereka walaupun aduan telah dibuat kepada pihak JKR.

Beberapa buah rumah panjang telah meminta tangki biru daripada pejabat saya, malah  permintaan untuk tangki biru semakin meningkat. Saya boleh memberi tangki tersebut, tetapi ini tidak akan menyelesaikan masalah mereka. Saya tidak ingin kita seperti kerajaan lama yang banyak membekalkan tangki biru, tetapi tidak mengutamakan kepentingan rakyat untuk memastikan mereka mendapat bekalan air terawat pada setiap masa.

3. Tuan Yang Dipertua, saya ingin menarik perhatian Kementerian Kesihatan tentang kekurangan doktor pakar di Sibu. Sibu terletak di Central Region Sarawak. Untuk kebanyakan kes kanser atau kes yang lebih serius, pesakit-pesakit perlu dihantar ke Hospital Kuching dan Hospital Kuala Lumpur.

Saya menerima aduan dan diberitahu bahawa dulu pesakit dan seorang ahli keluarga yang tidak berkemampuan boleh dapat tiket penerbangan/bas percuma dari Sibu ke Kuching. Akan tetapi sekarang diberitahu bahawa tidak ada lagi peruntukan untuk membayar tiket penerbangan tersebut. Saya ingin minta penjelasan daripada Kementerian Kesihatan. Saya ingin tahu apakah bantuan yang dapat diberi kepada pesakit yang memang tidak mampu untuk mendapat rawatan di Kuching apatah lagi di Kuala Lumpur.

Oleh itu, saya ada satu permintaan supaya sebuah Pusat Kanser boleh diwujudkan di Hospital Sibu dan pakar onkologi termasuk jururawat onkologi boleh ditempatkan di Hospital Sibu untuk keperluan pesakit-pesakit di sini. Hospital Sibu memang mempunyai  keperluan yang tinggi untuk perkhidmatan pakar onkologi, kerana ia bukan sahaja untuk rakyat Sibu tetapi rakyat dari Mukah, Bintulu, Kapit, Julau, Kanowit, Selangau, Sarikei dan sebagainya. Dengan adanya Pusat Kanser di Hospital Sibu, pesakit dan keluarga mereka dapat menjimatkan kos pengangkutan mereka untuk terbang ke Kuching ataupun Kuala Lumpur.

Selain itu, isu ketidakcukupan tempat letak kereta semakin serius di Hospital Sibu. Masalah ini saya banyak kali bangkitkan di Dewan yang mulia ini. Apakah rancangan kerajaan untuk membina sebuah tempat letak kereta bertingkat di Hospital Sibu untuk menyelesaikan masalah yang lama wujud ini.

4. TYP, saya ingin menyentuh satu lagi isu penting iaitu tentang kewarganegaraan. Saya ingin minta Kementerian Dalam Negeri supaya memandang serius dan mengambil tindakan yang sewajarnya untuk membantu mereka yang masih menunggu-nunggu untuk kelulusan permohonan status kewarganegaraan mereka.

Saya menerima banyak aduan di mana permohonan kewarganegaraan mengambil masa menunggu yang terlalu lama. Saya telah banyak kali mencadangkan supaya satu tempoh masa perlu ditetapkan supaya pemohon tahu sampai bila mereka perlu menunggu. Adalah tidak adil kepada mereka yang memohon dan menunggu-nunggu tetapi akhirnya pun tidak mendapat apa-apa jawapan. Biasanya, apabila permohonan mereka ditolak, mereka akan dinasihatkan untuk cuba memohon lagi. Lepas itu, tunggu lagi. Oleh itu, saya mencadangkan supaya kementerian perlu menetapkan satu tempoh untuk setiap permohonan.

Menurut jawapan bertulis yang saya terima pada 13 Mac 2019, berdasarkan rekod Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dari tahun 2013 hingga 15 Februari 2019, hanya 38 permohonan kewarganegaraan Malaysia baharu yang diterima. Saya rasa maklumat ini mungkin tidak termasuk permohonan yang lama tertunggak. Saya memang faham bahawa setiap kes permohonan perlu diproses dengan teliti agar memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan dalam Bahagian III, Perlembagaan Persekutuan.

Oleh itu, saya minta supaya kes dapat diselesaikan mengikut kategori seperti apa yang telah dilakukan oleh kerajaan tahun lepas, iaitu memberi myKad kepada mereka yang berumur 60 tahun ke atas yang mempunyai Red IC iaitu myPR. Saya minta penjelasan, berapakah jumlah mereka yang berjaya mendapat myKad dalam usaha kerajaan tahun lepas ini dan berapakah mereka adalah daripada Sarawak.

Satu kategori yang agak ‘straightforward’ dan saya minta diselesaikan secepat mungkin. Iaitu, ibu yang berwarga asing dan melahirkan anak sebelum mendaftarkan perkahwinan. Anak mereka telah menjadi mangsa dalam kes seperti ini. Di mana mereka dilahirkan di Sarawak, dibesarkan di Sarawak, belajar di Sarawak tetapi bukan warganegara Malaysia walaupun bapa mereka adalah warganegara Malaysia. Saya berharap kes seperti ini dapat diselesaikan secepat mungkin memandangkan ibu bapa tersebut telah pun mendaftarkan perkahwinan mereka.

Tuan yang Di-Pertua,

Saya ingin membawa perhatian istimewa terhadap satu kes kewarganegaraan yang ada di Sibu. Seorang pelajar, Chieng Mei Mei telah mendapat keputusan SPM cemerlang 10A baru-baru ini, namun begitu beliau sedang menghadapi masalah untuk melanjutkan pelajaran di universiti tempatan kerana tidak mempunyai myKad atas sebab pendaftaran perkahwinan ibu bapa beliau dilakukan selepas beliau dilahirkan.

Saya rasa kerajaan Harapan haruslah membantu golongan ini, bukan sahaja kerana mereka berjaya dalam pelajaran, tetapi ini amatlah penting supaya anak-anak seperti Chieng Mei Mei dapat melanjutkan pelajaran mereka dan seterusnya menyumbang kembali  untuk membina semula negara ini.

Saya juga ingin tahu sama ada Task Force Kewarganegaraan di Sarawak yang ditubuhkan semasa pemerintahan kerajaan terdahulu masih berfungsi dengan baik atau tidak, kerana didapati ada banyak kes yang masih tidak dapat diselesaikan walaupun melalui taskforce ini. Saya ingin minta supaya Task Force  tersebut dapat dipertingkatkan dan ditambah baik dan diketuai oleh pemimpin Pakatan Harapan untuk mencari idea dan jalan strategik yang baru supaya kes-kes yang tertunggak lama ini dapat diselesaikan dengan cekap. Jangan disebabkan masalah -masalah administratif, kita kehilangan satu generasi yang dapat menyumbang kepada negara kami. 

5. TYP, saya ingin berkongsi satu kes yang dihadapi oleh saya sendiri pada Januari 2019  di mana seorang kenalan dari China telah dilarang masuk dan dihantar balik ke China kerana tidak ada RM5000 wang tunai dalam tangannya semasa di kaunter imigresen. Saya dihubungi untuk membuat penterjemahan untuk menyelesaikan masalah tersebut, tetapi pegawai yang bertugas tidak banyak membantu malah tidak bersikap sopan terhadap kami.

Saya difahamkan Timbalan Menteri Dalam Negeri telah membuat lawatan ke pejabat-pejabat/agensi-agensi kerajaan berkenaan dari semasa ke semasa, dan juga selepas saya membuat aduan tentang kes tersebut. Saya berharap Menteri boleh memberi penjelasan tentang SOP Kemasukan Pelancong ke Malaysia kerana ada banyak kes dimana pelancong tidak membawa banyak tunai, kerana mereka menggunakan kad kredit ataupun e-wallet seperti Alipay, WeChat dan sebagainya yang luas digunakan di negara China. Takkan disebabkan mereka tidak membawa tunai berjumlah RM 5000,  mereka dihalang untuk masuk ke negara kita yang mungkin akan menyebabkan kita hilang sumber pendapatan daripada pelancong tersebut. Saya juga ingin bertanya berapanya penterjamah (dalam bahasa apa) yang telah ditempatkan di setiap kaunter imigresen di KLIA dan KLIA2?

6.  Isu seterusnya, saya ingin menarik perhatian Kementerian Pelancongan tentang Sibu International Dance Festival (SIDF) yang telah diadakan sejak tahun 2012, dan mendapat sambutan baik daripada peserta penari dari banyak negara seperti Russia, USA, India, Taiwan, Japan, Mexico, Brazil, Singapore, Thailand, Paraguay, South Africa dan lain-lain. Namun karnival yang membantu menaikkan nama Malaysia di persada dunia dalam bidang tarian ini sukar mendapat sokongan kewangan daripada kerajaan persekutuan kebelakangan tahun ini. Jadi, saya amat berharap Menteri Pelancongan dapat memberi sokongan kewangan kepada karnival tersebut agar karnival ini boleh terus diadakan setiap tahun, dan seterusnya memanfaatkan rakyat Sibu dan rakyat Malaysia yang berminat dalam bidang tarian.

7. TYP, saya ingin menyentuh isu Bantuan Sara Hidup Rakyat (BSH). Saya ingin mencadangkan supaya bujang yang berstatus OKU perlu diberikan BSH kerana golongan ini perlu diberi keistimewaan disebabkan mereka memang menghadapi cabaran untuk mendapatkan perkerjaan ataupun pendapatan yang tetap. Oleh itu, saya berharap kerajaan dapat mempertimbangkan untuk memberi bantuan yang lebih kepada mereka.

Selain itu, saya ingin memuji kerajaan PH yang telah memberi insurans percuma kepada golongan B40 melalui Program mySalam. Saya difahamkan sebanyak 3.7juta rakyat Malaysia yang terkandung dalam golongan B40 akan mendapat manfaat daripada mySalam. Dengan itu, saya ingin minta data berapakah rakyat Sarawak yang akan mendapat manfaat daripada program ini.

8. Seterusnya saya ingin menyentuh isu yang berkaitan dengan Kementerian Pendidikan. Saya menerima banyak aduan bahawa pengetua/guru besar sekarang mempunyai kuasa mutlak dan ada yang disyaki telah menyalahgunakan kuasa mereka.

Saya dimaklumkan berlakunya kes di mana pengetua dalam kawasan Lanang melarang sesetengah pelajar untuk menduduki peperiksaan SPM bagi sesuatu subjek tetapi tidak ada tindakan yang diambil oleh Pejabat Pendidikan Daerah selepas aduan diterima. Aduan yang seterusnya dibuat kepada Jabatan Pendidikan Negeri pun sama, tiada tindakan yang diambil. Saya telah mengemukakan kes ini kepada Timbalan Menteri Pendidikan selepas mendengar aduan daripada pengadu. Saya berharap Kementerian Pendidikan boleh mengambil tindakan yang sewajarnya.

Dan saya juga ingin meminta supaya satu sistem di mana guru-guru dan PIBG sekolah atau ibu bapa boleh melaporkan kes sebegini kepada pihak yang berkuasa tanpa berasa risau campur tangan pengetua atau guru besar.

Ada satu lagi kes tentang Pendidikan Khas. Saya dimaklumkan bahawa Kementerian Pendidikan mempunyai syllabus untuk Pendidikan Khas yang lebih kepada kemahiran seperti masakan, cuci kereta dan sebagainya. Akan tetapi, tiada peralatan yang dibekalkan kepada sekolah-sekolah pendidikan khas ini. Pihak sekolah perlu minta bantuan kewangan daripada pihak swasta dan wakil rakyat untuk mendapatkan peralatan yang diperlukan. Saya minta supaya satu peruntukan yang secukupnya disediakan untuk pembelian peralatan pendidikan khas supaya anak-anak yang belajar di sekolah pendidikan khas betul-betul dapat mempelajari suatu kemahiran dan boleh mendapatkan pekerjaan apabila mereka tamat persekolahan.

Sekian, terima kasih.

Alice Lau (Ahli Parlimen P211 Lanang)