
Kuching: Saya menggesa Kerajaan Sarawak agar mengambil tindakan segera untuk menyelesaikan kecelaruan yang sedang berlaku berhubung pelaksanaan submodul Household and Assistance Vetting & Employment Network (HAVEN) di bawah sistem Sansol Foreign Worker Transformation and Administration (FWTA).
Walaupun pekeliling rasmi bertarikh 22 Mei 2026 yang dikeluarkan oleh Immigration and Labour Management Unit (ILMU) di bawah Jabatan Premier Sarawak mengarahkan supaya semua permohonan baharu dan pembaharuan permit Pembantu Rumah Asing (PRA) diproses sepenuhnya melalui sistem HAVEN, hakikatnya sistem tersebut jelas belum bersedia. Keadaan ini menyebabkan keluarga, majikan dan pembantu rumah asing terperangkap dalam kekalutan pentadbiran yang sepatutnya boleh dielakkan.
Malangnya, situasi sebenar di lapangan menunjukkan gambaran yang jauh berbeza.
Difahamkan mereka yang perlu segera mengambil atau memperbaharui permit kerja pembantu rumah asing kini tidak dapat berbuat demikian kerana sistem HAVEN tidak berfungsi sebagaimana yang sepatutnya. Namun begitu, ILMU tetap mewajibkan penggunaan sistem tersebut. Akibatnya, ramai majikan kini berada dalam keadaan tidak menentu tanpa sebarang penyelesaian yang jelas, tanpa proses alternatif dan tanpa kepastian bila permohonan mereka boleh diteruskan.
Mengapa sebuah sistem diwajibkan penggunaannya sedangkan ia sendiri gagal memproses permohonan yang sepatutnya dikendalikan?
Keadaan ini semakin mengecewakan orang ramai. Apabila majikan mendapatkan bantuan daripada Jabatan Imigresen Sarawak, mereka diminta merujuk kepada ILMU. Apabila mereka mendapatkan penjelasan daripada ILMU pula, tiada penyelesaian praktikal diberikan. Sebaliknya, rakyat terus dipingpongkan antara agensi kerajaan sedangkan permohonan mereka masih tergendala.
Lebih membimbangkan, permohonan yang dikemukakan pada bulan April dan Mei dilaporkan telah dipulangkan semula tanpa diproses, menyebabkan majikan terus berdepan ketidakpastian dan tiada saluran yang jelas untuk meneruskan permohonan mereka.
HAVEN bukanlah sebuah sistem yang berdiri sendiri. Ia merupakan sebahagian daripada projek Sansol Foreign Worker Transformation and Administration (FWTA) yang sebelum ini telah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat berhubung pelaksanaannya. Jika sistem tersebut belum benar-benar bersedia, mengapa ia dilaksanakan sebagai syarat wajib? Mengapa ujian menyeluruh, penerimaan pengguna (user acceptance testing) serta penilaian kesiapsiagaan operasi tidak diselesaikan terlebih dahulu sebelum majikan dipaksa menggunakannya?
Kerajaan Sarawak juga berhutang penjelasan segera kepada rakyat. Mengapakah permohonan yang dikemukakan pada bulan April dan Mei dipulangkan tanpa diproses? Mengapa majikan dihantar berulang-alik antara Jabatan Imigresen dan ILMU tanpa mana-mana agensi mengambil tanggungjawab untuk menyelesaikan masalah ini? Adakah Kerajaan Sarawak benar-benar mengetahui apa yang sedang berlaku di lapangan? Berapa ramai lagi keluarga yang perlu menanggung kesusahan akibat perancangan yang lemah dan pelaksanaan sistem yang belum benar-benar bersedia? Cukuplah budaya saling menuding jari dan melepaskan tanggungjawab.
Kerajaan Sarawak mesti menghentikan amalan melancarkan sistem digital yang belum siap sepenuhnya sehingga membebankan rakyat, dan mengambil tindakan segera bagi menyelesaikan masalah ini.
Sementara itu, satu penyelesaian sementara yang praktikal mesti disediakan bagi semua permohonan yang masih tertangguh atau telah ditolak supaya tiada majikan atau keluarga yang dihukum secara tidak adil akibat kegagalan sistem yang dibangunkan oleh Kerajaan Sarawak sendiri.
Violet Yong
ADUN Pending
29 Jun 2026














