SANSOLS ‘Cekik’ perniagaan Sarawak, mesti ditamatkan segera, kata Chong

2
Chong Chieng Jen menggesa Kerajaan Sarawak memansuhkan platform SANSOLS.

Kuala Lumpur: Pendekatan Transformasi Pekerja Asing (Foreign Workers Transformation Approach, FWTA) menerusi platform SANSOLS merupakan satu bentuk eksploitasi yang dikenakan oleh Kerajaan Sarawak terhadap syarikat, perniagaan dan majikan di seluruh sektor ekonomi di Sarawak, dan perlu ditamatkan serta-merta.

Hari ini saya telah menerima jawapan daripada Kementerian Sumber Manusia yang mengesahkan bahawa platform SANSOLS diperkenalkan dan diwajibkan oleh Kerajaan Negeri pada Januari 2025 bagi semua permohonan pekerja asing di Sarawak, serta semua dasar dan fi yang dikenakan melalui platform tersebut adalah di bawah kuasa Kerajaan Negeri Sarawak.

Atas nama pendigitalan, Kerajaan Negeri GPS telah mewajibkan semua syarikat, perniagaan dan majikan di seluruh Sarawak menggunakan platform SANSOLS bagi urusan pengambilan pekerja asing.

Langkah ini telah mewujudkan kerenah birokrasi tambahan serta meningkatkan kos bagi semua permohonan pekerja asing di Sarawak, sedangkan negeri-negeri lain di Malaysia tidak menghadapi keperluan sedemikian.

Kerajaan Negeri juga telah melantik SATU syarikat monopoli untuk mengendalikan platform SANSOLS dan mengutip bayaran daripada orang ramai.

Modus operandi ini dirahsiakan sekian lama sehinggalah akhirnya didedahkan oleh YB Violet Yong pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada Mei 2026 bahawa semua pembayaran yang dibuat oleh syarikat, perniagaan dan majikan di Sarawak melalui platform SANSOLS disalurkan kepada sebuah syarikat swasta.

Dianggarkan terdapat kira-kira 130,000 pekerja asing di Sarawak pada tahun 2025.

Dengan caj RM1,800 bagi setiap pekerja, jumlah kutipan oleh syarikat swasta tersebut daripada syarikat dan perniagaan di Sarawak dianggarkan mencecah RM200 juta bagi tahun 2025.

Platform SANSOLS ini, pertama sekali, adalah tidak perlu dan menjadikan proses permohonan pekerja asing lebih tidak cekap.

Kedua, ia menambahkan kos permohonan.

Ketiga, ia mengambil ratusan juta ringgit daripada syarikat, perniagaan dan majikan yang menggaji pekerja asing untuk memperkayakan SATU syarikat monopoli.

Ini jelas merupakan satu penyalahgunaan autonomi imigresen negeri demi memperkayakan sebuah syarikat swasta.

Oleh itu, Kerajaan Negeri perlu tampil berterus terang kepada rakyat Sarawak mengenai siapakah sebenarnya di sebalik syarikat monopoli yang diwujudkan oleh Kerajaan Negeri untuk mengutip anggaran RM200 juta setahun daripada rakyat Sarawak.

Kerajaan Negeri juga perlu bersikap telus mengenai proses perolehan dan menjelaskan bagaimana syarikat tersebut dipilih sebagai syarikat monopoli oleh kerajaan.

Akhir sekali, saya sekali lagi menggesa Kerajaan Negeri supaya mengambil tindakan segera untuk menamatkan penggunaan platform SANSOLS dan mengembalikan penggunaan sistem terdahulu, iaitu Monitoring System on the Employment of Non-Sarawakian (MSEN), yang tidak mengenakan sebarang bayaran.

Chong Chieng Jen
Ahli Parlimen Stampin
1 Julai 2026