Mordi Tegas Berjuang Sama DAP Serta PH

726

Kenyataan Media Daripada Mordi Bimol:

Seiring dengan serangan wabak Covid 19, kini sudah lebih setahun PN memegang tampuk pentadbiran Kerajaan Malaysia. Pelbagai norma baru perlu kita terima pakai, suka atau tidak, masyarakat perlu akur demi kepentingan bersama. Lompat parti antara norma baru yang masih dikecam tetapi tetap rancak dalam politik di negara kita hari ini. Ini mencerminkan bukan sahaja ketidakstabilan politik Malaysia malah ketidakstabilan prinsip wakil rakyat hari ini.

Baru-baru ini, ramai yang telah dikejutkan dengan khabar angin bahawa saya bakal melompat untuk memberi sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional.

Saya tegaskan di sini, itu tidak benar. Saya masih teguh sebagai wakil rakyat DAP serta Pakatan Harapan dan akan terus bersuara dan berkhidmat untuk rakyat yang saya wakili terutamanya di Mas Gading. Masalah kesihatan sedikit mengganggu prestasi saya tapi bukan prinsip saya. Saya terlibat dalam politik bukan atas dasar minat, tapi tanggungjawab dan yang menghantar saya ke parlimen adalah rakyat Mas Gading.

Saya yakin masing-masing ada alasan sendiri untuk lompat atau kekal dalam parti yang diwakili ketika PRU lalu. Faktor utama yang saya lihat menjadi faktor kepada kegiatan lompat parti ini adalah isu peruntukan khas bagi kawasan parlimen. Dari dulu hinggalah sekarang, hanya wakil rakyat blok kerajaan sahaja akan menerima peruntukan tersebut, tapi tidak blok pembangkang. Maka itulah salah satu modal yang digunakan untuk memancing wakil-wakil rakyat dari blok pembangkang.

Ini adalah sesuatu yang serius dan perlu diberi perhatian. Wujudnya kerajaan pintu belakang hari ini adalah kesan daripada sikap segelintir pihak yang pentingkan diri dan tamakkan jawatan sehingga lupa akan nasib rakyat. Contohnya di Mas Gading, rakyat kawasan parlimen ini menjadi mangsa kejadian lompat parti. Lain pihak yang buat hal, lain kawasan yang kena tanggung. Dengan sekelip mata, Mas Gading menjadi kawasan di bawah ahli parlimen pembangkang dan serta merta peruntukan bagi kawasan parlimen ini ditarik balik. Kenapa tidak ditarik balik elaun wakil rakyat yang melompat?

Ketika mengharungi lautan politik Malaysia yang bergelora teruk, tidak pernah sedikit pun saya lihat saudara seperjuangan saya goyah. Walau sekuat mana sekalipun dipukul ombak kecaman, ditiup ribut tuduhan, kapal DAP tetap teguh menyusur lautan kebenaran. Pengalaman ini membuatkan saya bertambah yakin dengan kapal yang saya naiki selama ini. Walaupun tidak mewah, tetapi dikemudikan dengan jujur, adil, dan amanah. Bersama 41 orang ahli parlimen DAP yang lain, kami akan terus kuat berpegang pada prinsip perjuangan parti dan mempertahankan mandat yang telah diberikan oleh rakyat.

Mordi Bimol
Ahli Parlimen Mas Gading