DAPSY gesa MBKS, DBKU perkenal notifikasi masa nyata dalam sistem parkir Pay & Go demi ketelusan

5
George Lam menunjukkan sistem parkir Pay&Go sambil menggesa MBKS dan DBKU memperkukuh pemantauan terhadap sistem parkir digital bagi memastikan kutipan bayaran parkir dilaksanakan secara adil, telus dan bertanggungjawab.
George Lam menunjukkan sistem parkir Pay&Go sambil menggesa MBKS dan DBKU memperkukuh pemantauan terhadap sistem parkir digital bagi memastikan kutipan bayaran parkir dilaksanakan secara adil, telus dan bertanggungjawab.

Kuching: Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) dan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) digesa memperkukuh pemantauan terhadap sistem parkir Pay & Go dengan memperkenalkan notifikasi masa nyata serta mewajibkan bukti bergambar bagi setiap Notis Lebih Masa Parkir (Overparking Notice) yang dikeluarkan kepada pengguna.

Ketua DAPSY Kuching, George Lam berkata, pihak berkuasa tempatan selaku pihak yang bertanggungjawab terhadap kontrak perkhidmatan kutipan bayaran parkir bandar perlu memastikan sistem tersebut beroperasi secara telus dan adil, bukannya membiarkan pengguna menanggung caj yang tidak munasabah akibat kelemahan dalam pelaksanaannya.

Gesaan itu dibuat susulan peningkatan aduan orang ramai berhubung sistem parkir Pay & Go, dengan sebahagian pengguna mendakwa mereka dikenakan caj parkir tanpa disedari atau hanya mengetahui Notis Lebih Masa Parkir selepas menyemak aplikasi secara manual.

Lam berkata, ketiadaan notifikasi masa nyata menyebabkan pengguna hanya menyedari caj tambahan tersebut selepas tempoh tertentu, sekali gus menjejaskan keyakinan terhadap sistem berkenaan.

Beliau turut membangkitkan kebimbangan mengenai warga emas yang menggunakan ciri Elderly Easy Payment (EEP), yang membuat potongan caj parkir secara automatik daripada baki prabayar pengguna.

Menurutnya, ramai warga emas yang kurang mahir menggunakan aplikasi telefon pintar tidak mempunyai cara untuk mengetahui bila, di mana dan berapa jumlah caj yang telah ditolak melainkan mereka sendiri log masuk ke dalam sistem untuk membuat semakan.

“Dalam sesetengah kes, pengguna hanya menyedari baki mereka telah habis selepas caj parkir tertunggak terkumpul,” katanya.

Lam turut mempersoalkan mengapa sistem parkir Pay & Go tidak menyediakan bukti bergambar atau memaparkan nombor petak parkir apabila mengeluarkan Notis Lebih Masa Parkir.

“Tanpa maklumat sokongan sedemikian, pengguna tidak dapat mengesahkan secara bebas sama ada kenderaan mereka benar-benar melebihi tempoh parkir yang dibenarkan,” katanya.

Beliau turut menggesa MBKS dan DBKU menjelaskan sama ada pengendali sistem parkir telah memenuhi komitmen untuk membuat rondaan setiap 30 minit serta mengambil bukti bergambar sebelum mengeluarkan Notis Lebih Masa Parkir.

Beliau juga mempersoalkan aduan pengguna yang mendakwa mereka tetap dikenakan notis walaupun telah meninggalkan petak parkir dalam tempoh masa yang ditetapkan.

Walaupun mengakui sistem parkir digital menawarkan kemudahan kepada pengguna, Lam menegaskan bahawa isu sebenar bukanlah pendigitalan itu sendiri, tetapi kekurangan ketelusan dalam pelaksanaannya.

Beliau menambah bahawa DAP Sarawak akan terus menjalankan peranannya sebagai pembangkang dengan meneliti perkhidmatan kutipan bayaran parkir yang disediakan oleh pihak berkuasa tempatan bagi memastikan akauntabiliti terus dipelihara dan kepentingan rakyat sentiasa diutamakan.