
Kuching: DAPSY Sarawak menggesa Kerajaan Sarawak menjelaskan bagaimana Pelaksanaan Pendekatan Transformasi Pekerja Asing (Foreign Workers Transformation Approach, FWTA) akan memberi kesan kepada kos sara hidup, sambil memberi amaran bahawa kos tambahan yang dikenakan ke atas perniagaan berkemungkinan akan dipindahkan kepada pengguna.
Bendahari DAPSY Sarawak, Lesley Chong, berkata kerajaan negeri selama ini sering mempromosikan FWTA sebagai satu sistem yang meningkatkan kecekapan dan memperkemaskan pengurusan pekerja asing, namun masih belum menangani kebimbangan mengenai kesan ekonomi yang lebih meluas.
Beliau berkata, kerajaan juga belum menjelaskan bagaimana fi dan caj pentadbiran yang diperkenalkan menerusi FWTA akan memberi kesan kepada perniagaan, harga pasaran dan akhirnya perbelanjaan isi rumah.
“Kerajaan mungkin berhujah bahawa caj ini ditanggung oleh majikan, tetapi perniagaan bukan badan kebajikan.
“Apabila kos operasi meningkat, kos tersebut sudah pasti akan diterjemahkan kepada kenaikan harga barangan dan perkhidmatan, sekali gus menyebabkan rakyat Sarawak yang akhirnya menanggung beban,” katanya dalam satu kenyataan.
Chong berkata, banyak sektor di Sarawak termasuk pembinaan, pembuatan, perladangan, makanan dan minuman serta perkhidmatan bergantung kepada tenaga kerja asing.
“Apabila kos pengambilan dan pembaharuan permit pekerja asing meningkat, syarikat dijangka memasukkan kos tambahan itu ke dalam kos operasi mereka,” katanya.
Menurutnya, peningkatan kos pembinaan boleh menyebabkan harga rumah meningkat, manakala kenaikan kos operasi dalam sektor makanan dan minuman pula boleh mendorong kenaikan harga makanan.
Beliau menambah bahawa keadaan sama akhirnya akan memberi kesan kepada harga barangan keluaran serta pelbagai perkhidmatan.
Chong berpendapat bahawa FWTA bukan lagi sekadar isu pengurusan pekerja asing, sebaliknya telah menjadi isu dasar awam yang mempunyai implikasi terhadap daya saing ekonomi Sarawak dan kos sara hidup rakyat.
Beliau mempersoalkan mengapa kerajaan sehingga kini masih belum mendedahkan asas penetapan struktur fi FWTA atau menerbitkan sebarang penilaian mengenai kesannya terhadap kos operasi perniagaan, inflasi dan harga pengguna.
Sehubungan itu, Chong menggesa Kerajaan Sarawak meningkatkan ketelusan dengan menerbitkan penilaian impak yang menyeluruh mengenai kesan FWTA terhadap kos operasi, harga pasaran dan perbelanjaan isi rumah.
Beliau berkata, rakyat berhak mendapat akses kepada data yang berkaitan bagi menentukan sama ada dasar tersebut benar-benar mampu memperkukuh ekonomi Sarawak atau sekadar meningkatkan kos di sepanjang rantaian bekalan sebelum akhirnya ditanggung oleh pengguna.














