
Sibu: Pusat Khidmat DAP P.212 Sibu telah melaksanakan satu inisiatif komuniti dengan memasang lampu jalan berkuasa solar di kawasan Seberang Barat Sibu sebagai penyelesaian segera bagi jalan-jalan luar bandar yang sekian lama tidak mempunyai kemudahan pencahayaan yang mencukupi.
Ahli Parlimen Sibu, Oscar Ling Chai Yew berkata, projek tersebut merupakan salah satu inisiatif kemudahan komuniti berskala kecil yang dilaksanakan oleh pusat khidmatnya bagi meningkatkan keselamatan awam serta memperbaiki kualiti hidup penduduk di kawasan yang kurang mendapat kemudahan asas.
Beliau berkata, fasa pertama projek itu mensasarkan pemasangan sebanyak 35 unit lampu jalan solar dengan keutamaan diberikan kepada jalan-jalan yang sering digunakan oleh penduduk tetapi masih gelap pada waktu malam.
Menurut Ling, pasukan Pusat Khidmat DAP P.212 Sibu kini sedang giat menjalankan kerja-kerja pemasangan di lapangan, dengan pemasangan peringkat pertama telah siap di Jalan Kwong Ting, Jalan Hock Chung, Jalan Hock Chuong, Jalan Guong Ming Hilir dan Jalan Bukit Igu 2.
Beliau berkata, pemasangan lampu jalan solar hanyalah satu langkah penyelesaian jangka pendek.
“Dalam jangka panjang, pihak berkuasa tempatan perlu mengambil langkah yang lebih proaktif untuk mengatasi kekurangan lampu jalan di kawasan luar bandar kerana jangka hayat purata lampu jalan solar hanyalah sekitar tiga hingga lima tahun,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa banyak jalan luar bandar dikelilingi pokok-pokok yang rendang, menyebabkan keadaan menjadi lebih gelap pada waktu malam apabila cahaya bulan turut dihalang oleh kanopi pokok.
“Justeru, isu kekurangan lampu jalan perlu diberi perhatian serius kerana ia melibatkan keselamatan penunggang motosikal, pemandu kenderaan, penunggang basikal serta pejalan kaki.
“Sehubungan itu, pihak berkuasa tempatan perlu mempercepatkan usaha menyediakan lebih banyak kemudahan lampu jalan di kawasan luar bandar bagi memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya,” katanya.
Sementara itu, Ling turut menasihati pengguna jalan raya yang melalui laluan tanpa lampu jalan supaya sentiasa memandu atau menunggang dengan lebih berhati-hati, mengurangkan kelajuan serta peka terhadap keadaan jalan bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini.














