
Sibu: Kerajaan Persekutuan perlu memperkukuhkan keupayaan memadam kebakaran di Sibu dengan menaik taraf peralatan, infrastruktur dan sumber operasi susulan kebakaran besar yang memusnahkan 10 buah kedai di Jalan Khoo Peng Loong, kata Ahli Parlimen Sibu Oscar Ling.
Ling berkata insiden tersebut menunjukkan keperluan untuk kerajaan menilai semula sama ada kapasiti pasukan bomba di Sibu ketika ini mencukupi bagi menyokong perkembangan pesat bandar itu.
Beliau berkata anggota bomba menghadapi beberapa cabaran semasa operasi pemadaman, termasuk tekanan air yang tidak mencukupi, sekali gus menjejaskan kecekapan operasi dan mendedahkan kelemahan dalam infrastruktur sokongan bandar tersebut.
Ling berkata beliau telah segera membangkitkan perkara itu kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming, serta menggesa Kerajaan Persekutuan memberi keutamaan kepada Sibu dalam peruntukan masa depan bagi perkhidmatan bomba dan penyelamat.
Beliau menggesa supaya peruntukan melalui belanjawan negara dan rancangan pembangunan akan datang digunakan untuk menaik taraf Jabatan Bomba dan Penyelamat Sibu, termasuk pembelian trak tangga udara, kenderaan platform hidraulik serta peralatan pemadaman kebakaran moden yang lain.
“Dengan pembangunan Sibu yang semakin pesat, termasuk peningkatan pembinaan bangunan kediaman dan komersial bertingkat tinggi, keupayaan memadam kebakaran juga perlu dipertingkatkan bagi menghadapi cabaran baharu,” katanya.
Ling menegaskan bahawa operasi memadam kebakaran bandar moden tidak boleh hanya bergantung kepada jentera bomba konvensional, sebaliknya memerlukan peralatan khusus bagi memastikan operasi menyelamat berjalan berkesan, terutama ketika berlaku kebakaran melibatkan bangunan tinggi.
Beliau turut menggesa penambahbaikan rangkaian pili bomba serta sistem tekanan air di Sibu bagi memastikan anggota bomba mempunyai sumber mencukupi ketika menghadapi insiden besar.
“Sebagai sebuah bandar utama dan pusat perkhidmatan di Wilayah Tengah Sarawak, Sibu memerlukan sistem perkhidmatan bomba yang mencerminkan kepentingannya,” katanya.
Beliau menambah bahawa pelaburan dalam infrastruktur keselamatan awam mesti bergerak seiring dengan pertumbuhan bandar bagi melindungi penduduk, peniaga serta anggota penyelamat di barisan hadapan.
Ling turut memuji anggota bomba, polis, pasukan perubatan dan sukarelawan yang bertungkus-lumus mengawal kebakaran serta mengelakkan kemusnahan lebih besar.
Kebakaran yang berlaku di kawasan komersial Jalan Khoo Peng Loong itu menyebabkan kerugian besar kepada pemilik perniagaan, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.














