
Kuala Lumpur: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah memulakan siasatan terhadap J&T Express susulan aduan sekumpulan francaisi yang mendakwa pihak francaisor syarikat kurier itu mengenakan skim penalti yang tidak adil dan menekan terhadap pengusaha tempatan.
Ahli Parlimen Stampin, Chong Chieng Jen berkata beliau telah mengadakan pertemuan dengan pegawai KPDN baru-baru ini bagi membincangkan aduan yang dibangkitkan oleh beberapa francaisi J&T Express di Sarawak yang mendakwa mereka dikenakan apa yang disifatkan sebagai “penalti pemangsa” oleh pihak francaisor.
Menurut Chong, francaisi terbabit yang dilantik antara tahun 2023 dan 2024 menjalankan perkhidmatan penghantaran bungkusan berdasarkan perjanjian francais dengan francaisor milik asing.
“Mereka mendakwa syarikat berkenaan telah memperkenalkan pelbagai skim penalti secara unilateral, yang dinamakan sebagai ganti rugi tertentu (liquidated damages), yang dilihat oleh mereka sebagai bersifat eksploitatif dan memberi beban kewangan,” katanya.
Beliau berkata francaisi terbabit sebelum ini telah cuba berunding dengan pihak francaisor serta membantah pengenaan penalti tersebut, namun usaha berkenaan tidak berjaya.
“Francaisi terbabit telah menemui saya kira-kira dua minggu lalu bagi menyuarakan kesulitan yang mereka hadapi dan mendapatkan bantuan berhubung penalti yang dikenakan terhadap mereka,” katanya dalam satu kenyataan selepas pertemuan bersama pegawai kementerian.
Chong berkata beliau kemudiannya membangkitkan perkara itu di Parlimen, selepas itu KPDN memaklumkan bahawa kementerian telah mengambil maklum mengenai aduan tersebut dan memulakan siasatan terhadap pihak francaisor.
Beliau berkata pegawai kementerian akan menghubungi francaisi terbabit bagi mendapatkan maklumat lanjut sebagai sebahagian daripada proses siasatan.
Chong turut menjelaskan bahawa perniagaan francais di Malaysia dikawal selia di bawah Akta Francais 1998, yang memberi kuasa kepada KPDN untuk memantau pengaturan francais serta memastikan ia dilaksanakan secara adil bagi melindungi kepentingan francaisi.
Sambil mengalu-alukan pelaburan asing, Chong menegaskan hak usahawan tempatan juga perlu dipelihara.
“Kita mengalu-alukan pelaburan asing di Malaysia, tetapi pada masa sama, usahawan dan perniagaan tempatan mesti dilindungi daripada amalan perniagaan yang tidak adil,” katanya sambil menghargai tindakan pantas yang diambil oleh KPDN.
Beliau menambah bahawa kebanyakan francaisi yang terjejas merupakan rakyat Sarawak dan Malaysia yang bergantung kepada perniagaan tersebut sebagai sumber pendapatan.
J&T Express, sebuah syarikat perkhidmatan kurier yang diasaskan di China, mengembangkan operasinya ke Malaysia pada tahun 2023. Chong turut memaklumkan bahawa syarikat itu dilaporkan sedang mendapat perhatian pihak berkuasa di China selepas pengawal selia pos negara berkenaan baru-baru ini menjalankan siasatan berkaitan dakwaan kegagalan pengurusan keselamatan.













