17 kerusi baharu DUN Sarawak: GPS kelirukan isu, SPR perlu telus laksana persempadanan

5
Naib Ketua DAPSY Sarawak, Calvin Ohsey, menegaskan proses persempadanan semula DUN Sarawak mesti dilaksanakan oleh SPR secara telus dan mengikut Perlembagaan sebelum 17 kerusi baharu boleh digunakan dalam pilihan raya.
Naib Ketua DAPSY Sarawak, Calvin Ohsey, menegaskan proses persempadanan semula DUN Sarawak mesti dilaksanakan oleh SPR secara telus dan mengikut Perlembagaan sebelum 17 kerusi baharu boleh digunakan dalam pilihan raya.

Kuching: Kenyataan beberapa pemimpin GPS, khususnya daripada PBB dan SUPP, yang meluahkan kekecewaan serta mendesak agar penambahan 17 kerusi baharu Dewan Undangan Negeri Sarawak diluluskan segera oleh Parlimen adalah mengelirukan dan wajar diperbetulkan.

Naib Ketua DAPSY Sarawak, Calvin Ohsey berkata, keperluan memperkukuh sistem perwakilan di Sarawak tidak dinafikan dengan keluasan Sarawak, cabaran geografi yang unik, taburan penduduk tidak sekata serta keperluan pembangunan luar bandar yang besar.

“Namun, sokongan terhadap perwakilan lebih adil tidak bermaksud proses Perlembagaan boleh disederhanakan atau diputar belit bagi membina persepsi bahawa Kerajaan Persekutuan dan Parlimen sengaja melambatkan hasrat Kerajaan Sarawak melaksanakan 17 kerusi baharu sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

“Fakta asasnya jelas. DUN Sarawak telah meluluskan penambahan komposisi daripada 82 kepada 99 kerusi. Namun kelulusan itu hanya menetapkan jumlah kerusi DUN Sarawak. Ia tidak secara automatik mewujudkan 17 kawasan pilihan raya baharu yang boleh terus digunakan,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, untuk membolehkan kerusi baharu itu digunakan dalam pilihan raya, sempadan pilihan raya DUN Sarawak perlu dikaji dan disusun semula oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Di bawah Perkara 113 dan Jadual Ketiga Belas Perlembagaan Persekutuan, SPR perlu menjalankan kajian persempadanan, menyediakan syor, mempamerkan cadangan kepada orang awam, membuka ruang representasi dan bantahan, mengadakan siasatan tempatan sekiranya terdapat bantahan sah, menyemak semula syor jika perlu, dan hanya selepas itu laporan akhir boleh dikemukakan kepada Perdana Menteri untuk dibentangkan di Dewan Rakyat.

“SPR perlu diberi ruang untuk melaksanakan tanggungjawabnya secara profesional, bebas dan berpandukan Perlembagaan. Proses persempadanan tidak wajar dijadikan medan tekanan politik semata-mata kerana pilihan raya semakin hampir, apatah lagi apabila proses itu melibatkan hak rakyat untuk meneliti, membantah dan menilai cadangan sempadan yang akan menentukan nilai undi mereka,” katanya.

Calvin berkata, pemimpin GPS sewajarnya lebih jujur menjelaskan perkara ini kepada rakyat kerana setiap institusi mempunyai tanggungjawab yang berbeza mengikut kerangka Perlembagaan, dan proses ini tidak boleh diringkaskan sebagai sekadar mendapat kelulusan atau “endorsement” daripada Parlimen.

“Persempadanan semula bukan alat menyusun kelebihan politik mana-mana parti. Ia bukan sekadar soal menambah wakil rakyat, kawasan politik baharu atau saluran peruntukan kawasan. Matlamat sebenar persempadanan ialah memastikan rakyat mendapat perwakilan yang lebih adil, seimbang dan bermakna.

“Kita semua mahukan yang terbaik untuk Sarawak. Justeru, kepentingan Sarawak mesti dipertahankan dengan menghormati proses Perlembagaan, mempertahankan kebebasan institusi dan memastikan persempadanan baharu benar-benar mengukuhkan demokrasi serta menjamin perwakilan yang lebih adil untuk semua rakyat Sarawak,” katanya.