
Kuching: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pending, Violet Yong, menggesa Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) dan Sarawak Water Sdn Bhd supaya segera menjelaskan punca gangguan bekalan air yang berterusan di Medan Selera Kenyalang, mengumumkan garis masa pembaikan kekal serta melaksanakan penyelesaian jangka panjang.
Dalam satu kenyataan, Yong berkata, penyediaan dua tangki simpanan air hanya merupakan langkah sementara dan tidak menyelesaikan masalah sebenar.
“Tanggungjawab kini terletak sepenuhnya di bahu MBKS dan Sarawak Water Sdn Bhd untuk memulihkan bekalan air yang stabil serta memastikan para penjaja tidak terus menanggung kesan gangguan ini,” katanya.
Yong berkata, beliau telah menerima banyak aduan daripada penjaja di Medan Selera Kenyalang yang didakwa berdepan gangguan bekalan air setiap hari sejak dua minggu lalu.
“Menurut penjaja, bekalan air akan terputus sekitar jam 6 petang setiap hari, sekali gus menjejaskan operasi perniagaan pada waktu paling sibuk,” katanya.
Beliau berkata, para penjaja dimaklumkan bahawa gangguan itu berlaku selepas paip utama yang membekalkan air ke medan selera berkenaan rosak ketika kerja pembinaan projek Autonomous Rapid Transit (ART) di Jalan Simpang Tiga dijalankan.
Yong berkata, insiden itu menimbulkan persoalan mengenai pelaksanaan projek ART oleh Sarawak Metro Sdn Bhd, sambil mendakwa Medan Selera Kenyalang tidak pernah mengalami gangguan bekalan air yang berulang sebelum projek tersebut dimulakan.
“Kerajaan GPS Sarawak terus mempromosikan projek ART sebagai simbol pembangunan. Namun, apakah gunanya meneruskan projek mega yang mahal dan tidak praktikal sekiranya kerajaan negeri gagal menjamin bekalan air yang berterusan kepada para penjaja?
“Sebelum projek ART dimulakan, Medan Selera Kenyalang tidak pernah mengalami gangguan bekalan air yang berulang,” katanya.
Beliau turut mendakwa penduduk di Kuching kini berdepan jalan raya yang rosak, utiliti bawah tanah yang terjejas, kesesakan lalu lintas yang semakin buruk serta kerja pembinaan yang berpanjangan sejak projek itu dimulakan.
“Pembangunan seharusnya meningkatkan kualiti hidup rakyat, bukannya menyukarkan kehidupan seharian mereka. Projek infrastruktur tidak sepatutnya dilaksanakan sehingga menjejaskan perkhidmatan asas dan mata pencarian rakyat,” katanya.
Yong berkata, gangguan bekalan air itu telah menyebabkan kesulitan besar kepada para penjaja memandangkan air merupakan keperluan asas bagi penyediaan makanan, mencuci peralatan, menjaga kebersihan serta melayani pelanggan.
Beliau menambah, penggunaan dua tangki simpanan air hanyalah langkah sementara dan tidak boleh dianggap sebagai penyelesaian muktamad.
Yong turut mengkritik MBKS dan Sarawak Water Sdn Bhd kerana gagal memberikan penjelasan secara terbuka mengenai punca gangguan atau mengumumkan garis masa pembaikan kekal.
Katanya, sikap berdiam diri kedua-dua pihak adalah tidak boleh diterima dan para penjaja berhak mengetahui bila bekalan air akan dipulihkan sepenuhnya.














