Status 15 Kampung Singai masih kabur, DAPSY Sarawak gesa kerajaan jelaskan kedudukan sebenar

2
Calvin Ohsey menggesa Kerajaan Sarawak memberikan penjelasan rasmi dan jelas mengenai status pentadbiran 15 kampung di Singai serta kedudukannya dalam sempadan Daerah Bau.
Calvin Ohsey menggesa Kerajaan Sarawak memberikan penjelasan rasmi dan jelas mengenai status pentadbiran 15 kampung di Singai serta kedudukannya dalam sempadan Daerah Bau.

Bau: Kerajaan Sarawak perlu memberikan penjelasan rasmi dan bertulis mengenai status pentadbiran 15 kampung di Singai yang dibangkitkan sejak 2025, kata Naib Ketua DAPSY Sarawak, Calvin Ohsey.

Beliau berkata persoalan utama yang masih belum dijawab ialah sama ada kesemua 15 kampung tersebut berada sepenuhnya dalam Daerah Bau berdasarkan sempadan pentadbiran yang sedang berkuat kuasa.

“Penduduk masih berurusan dengan Pejabat Daerah Bau dan menerima perkhidmatan kerajaan seperti biasa. Namun, amalan pentadbiran semasa tidak dengan sendirinya menjelaskan kedudukan rasmi setiap kampung berdasarkan sempadan pentadbiran,” katanya dalam satu kenyataan.

Calvin berkata persoalan itu turut perlu dilihat berdasarkan perbezaan keluasan Daerah Bau yang dinyatakan dalam dua perintah pentadbiran negeri.

Menurutnya, The Administrative Areas Order, 2016 menyatakan keluasan Daerah Bau kira-kira 884 kilometer persegi, manakala The Administrative Areas Order, 2022 menyatakannya kira-kira 775 kilometer persegi, iaitu perbezaan kira-kira 109 kilometer persegi.

“Perbezaan ini tidak membuktikan keseluruhan 109 kilometer persegi melibatkan Singai, tetapi ia menguatkan keperluan kerajaan menjelaskan sama ada dan sejauh mana 15 kampung tersebut terjejas,” katanya.

Beliau turut berkata Ahli Parlimen Mas Gading, Mordi Bimol telah menulis kepada Pejabat Premier Sarawak pada 12 September 2025 dan 30 Oktober 2025, namun belum menerima jawapan bertulis yang menjelaskan status setiap kampung.

Calvin berkata The Administrative Areas Order, 2022 merujuk kepada Land and Survey Miscellaneous Plan No. 1/125 sebagai pelan yang memperincikan sempadan Daerah Bau.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan menjelaskan sama ada kesemua 15 kampung berada dalam Daerah Bau dan, jika tidak, menyatakan kampung atau bahagian kampung yang berada di Daerah Bau dan Daerah Kuching.

“Jika seluruh Singai kekal di bawah Daerah Bau, pengesahan rasmi berdasarkan dokumen kerajaan sendiri sepatutnya mudah diberikan.

“Masyarakat berhak menerima jawapan yang jelas dan Kerajaan Sarawak perlu menamatkan segala kekeliruan mengenai status rasmi 15 kampung Singai,” katanya.