
Sibu: Ahli Parlimen Sibu, Oscar Ling Chai Yew menggesa Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, memberikan penjelasan segera berhubung percanggahan antara jawapan bertulis rasmi kementeriannya di Parlimen dengan kenyataan media terbaharu mengenai Projek Sarawak-Sabah Link Road Fasa 1 (SSLR1).
Ling berkata, beliau amat kesal dan terkejut apabila Nanta menafikan dakwaan bahawa SSLR1 telah menggantikan tiga projek jambatan di Sarawak, sedangkan jawapan bertulis rasmi yang diberikan kepada Parlimen sebelum ini menyatakan sebaliknya.
Menurut beliau, percanggahan tersebut bukan sekadar melibatkan perbezaan tafsiran, sebaliknya menimbulkan persoalan serius mengenai kredibiliti kementerian dan integriti institusi Parlimen.
Beliau berkata, jawapan bertulis rasmi Menteri Kerja Raya yang diterimanya menyatakan bahawa “ketiga-tiga butiran projek tersebut telah dibatalkan dan diganti dengan projek Sarawak-Sabah Link Road Fasa 1 (SSLR1).”
Katanya, penggunaan perkataan “diganti” dalam rekod rasmi Parlimen adalah jelas dan tidak memberi ruang kepada tafsiran lain kerana ia mewakili pendirian rasmi Kerajaan Persekutuan serta Kementerian Kerja Raya.
Ling mempersoalkan mengapa selepas jawapan tersebut mendapat perhatian umum dan dikatakan bercanggah dengan naratif politik Gabungan Parti Sarawak (GPS) berhubung pembatalan tiga projek jambatan, menteri kemudiannya menyatakan bahawa istilah “menggantikan” adalah tidak tepat.
“Rekod rasmi pentadbiran kerajaan bukan bahan permainan politik mahupun sesuatu yang boleh diubah tafsirannya mengikut keperluan politik semasa,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menjelaskan bahawa berdasarkan jawapan bertulis tersebut, beliau sebelum ini memaklumkan kepada rakyat bahawa peruntukan asal bagi tiga projek jambatan telah disusun semula untuk membiayai SSLR1 yang bernilai RM1.13 bilion.
Tambahnya, dengan pelaksanaan SSLR Fasa 2 yang dianggarkan menelan kos antara RM7.4 bilion hingga RM7.6 bilion, jumlah keseluruhan pelaburan Kerajaan Persekutuan bagi projek SSLR kini menghampiri RM8.7 bilion.
Ling turut mengingatkan bahawa Parlimen merupakan institusi perundangan tertinggi negara dan semua maklumat yang dikemukakan kepada Dewan Rakyat mestilah tepat serta tidak mengelirukan.
Beliau berkata, sekiranya kenyataan terkini menteri itu benar, maka Nanta perlu bertanggungjawab terhadap ketidaktepatan jawapan bertulis yang dikemukakan kepada Parlimen.
Sehubungan itu, Ling berkata beliau tidak menolak kemungkinan mengemukakan usul di bawah Peraturan 36(12) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat bagi merujuk Menteri Kerja Raya ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen atas dakwaan mengelirukan Dewan.
Dalam kenyataan sama, beliau turut mengulas kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Kitang, Datuk Lo Khere Chiang, dengan menegaskan bahawa dana bagi tiga projek jambatan itu sebenarnya telah disusun semula kepada projek SSLR dan bukannya “dirampas” daripada Sarawak.
Ling turut mempersoalkan mengapa selepas pertukaran kerajaan menerusi Langkah Sheraton pada 2020, ketika GPS menjadi sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan, tuntutan supaya peruntukan asal tiga jambatan dikembalikan tidak dibuat, sebaliknya Kerajaan Sarawak membiayai pembinaan jambatan berkenaan.
Beliau berkata keadaan itu mengukuhkan lagi kandungan jawapan bertulis Kementerian Kerja Raya bahawa dana pembangunan tersebut tidak hilang, sebaliknya telah dirancang semula untuk pelaksanaan Projek SSLR.
Mengakhiri kenyataannya, Ling menggesa Nanta tampil menjelaskan sama ada jawapan bertulis rasmi di Parlimen adalah mengelirukan ataupun pendirian menteri telah berubah demi mempertahankan kepentingan politik.
“Rakyat mahukan kebenaran, bukannya kenyataan yang bercanggah antara Parlimen dan media. Rakyat Sarawak berhak mengetahui hakikat sebenar,” katanya.














