
Kuching: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu memberikan jawapan segera apabila terdapat jurang jumlah pengundi yang begitu ketara antara kawasan DUN di Sarawak agar rakyat memperoleh gambaran lebih jelas mengenai asas dan rasional dalam cadangan persempadanan semula yang sedang dipamerkan, kata Ahli Parlimen Mas Gading, Mordi Bimol.
Beliau berkata, terdapat kawasan luar bandar yang hanya mempunyai sekitar 10,000 hingga 11,000 pengundi, sedangkan kawasan bandar seperti Piasau menghampiri 35,000 pengundi, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai keseimbangan perwakilan antara kawasan.
Menurutnya, SPR juga perlu menjelaskan mengapa julat munasabah sekitar 15,000 hingga 25,000 pengundi tidak diterapkan secara konsisten dalam pembentukan kawasan DUN baharu dan sedia ada.
“Apakah justifikasi teknikal SPR berhubung jurang pengundi (representation gap) yang terlalu ekstrem?” soalnya dalam kenyataan hari ini.
Mordi turut mempersoalkan pembahagian 17 kerusi DUN baharu yang disifatkannya perlu diteliti dari sudut kepadatan pengundi.
Katanya, kawasan Parlimen seperti Kuching, Stampin dan Miri, yang masing-masing mempunyai lebih 100,000 pengundi, menerima pertambahan kerusi DUN baharu yang tidak sekata berbanding kawasan lain yang mempunyai jumlah pengundi lebih rendah.
Beliau juga mahu SPR menjelaskan kriteria yang digunakan ketika memindahkan sesebuah kawasan DUN keluar atau masuk ke sesuatu kawasan Parlimen, termasuk sama ada keputusan itu benar-benar dibuat berdasarkan faktor akses geografi dan kemudahan pentadbiran rakyat.
Persoalan tersebut, katanya, penting bagi memastikan proses persempadanan tidak membuka ruang kepada persepsi bahawa sempadan pilihan raya direka untuk memberikan kelebihan politik kepada parti tertentu.
Dalam masa sama, Mordi menggesa SPR menjelaskan perancangan seterusnya berhubung persempadanan semula kerusi Parlimen di Sarawak.
Beliau berkata Ahli Parlimen kini terpaksa mengurus kawasan luas yang merangkumi empat hingga lima kerusi DUN, justeru pertambahan kerusi Parlimen perlu dilaksanakan secara selari bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat lebih berkesan.
Mordi menegaskan beliau tidak menentang cadangan pertambahan 17 kerusi DUN, namun menekankan bahawa penambahan kerusi mesti disertai proses persempadanan yang adil, telus dan bebas daripada unsur gerrymandering.
“Sempadan pilihan raya tidak boleh dijadikan alat untuk memanipulasi keputusan pilihan raya, sebaliknya mesti berteraskan prinsip demokrasi ‘satu orang, satu undi’,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut bersetuju dengan kemasukan DUN Serembu ke dalam Parlimen Mas Gading atas faktor pertalian sejarah, budaya, dialek bahasa, dan hubungan tempatan masyarakat Bidayuh yang berurusan di daerah Bau.
“Namun, dari segi nisbah pengundi, biarpun sebahagian besar kerusi di bawah Mas Gading kelihatan agak seimbang, namun DUN Serembu hanya mencapai sekitar 76.6% daripada nisbah purata pengundi berdaftar yang sepatutnya.
“DUN Serembu perlukan peluasan kawasan atau pertambahan pengundi bagi mencapai keseimbangan yang adil dan saksama,” katanya.
Beliau turut meminta SPR untuk memberikan perhatian khusus terhadap pertembungan sempadan pentadbiran seperti DUN Opar yang terletak di dalam Daerah Lundu tetapi mempunyai hubungan sosio-budaya dan komuniti yang amat rapat dengan Daerah Bau.
Notis Syor Kajian Semula Persempadanan bagi bahagian pilihan raya Persekutuan dan Negeri di Sarawak kini dipamerkan dari 1 hingga 30 September 2026, dengan Mordi turut menggesa rakyat mengambil kesempatan tempoh berkenaan untuk meneliti cadangan dan mengemukakan bantahan jika perlu.
“Saya menyeru kepimpinan masyarakat, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), serta pengundi berdaftar di mana-mana kawasan DUN untuk hadir menyemak syor pameran tersebut.
“Sekiranya terdapat ketidakpuasan hati, bantahan terhadap penamaan kawasan, atau cadangan penambahbaikan persempadanan, sila manfaatkan hak perlembagaan anda untuk mengemukakan representasi bantahan secara bertulis kepada pihak SPR sebelum atau pada 30 September 2026,” katanya.
Tambahnya, suara dan penyertaan semua amat berharga bagi memastikan pemetaan sempadan ini benar-benar mencerminkan kehendak, kemudahan pengundian, dan kestabilan komuniti setempat demi masa depan Sarawak.














