Mordi serah kawasan parkir baharu SMK Bau

8
Mordi bersama wakil Pejabat Pendidikan Daerah Bau, pihak pengurusan SMK Bau dan kontraktor meninjau kawasan parkir baharu yang telah siap dan diserahkan untuk kegunaan warga sekolah.
Mordi bersama wakil Pejabat Pendidikan Daerah Bau, pihak pengurusan SMK Bau dan kontraktor meninjau kawasan parkir baharu yang telah siap dan diserahkan untuk kegunaan warga sekolah.

Bau: Masalah kekurangan ruang parkir yang sekian lama menyebabkan kesesakan di SMK Bau kini berjaya diselesaikan menerusi pelaksanaan Projek Program Mesra Rakyat (PMR) 2024 bernilai RM100,000 di bawah kawasan Parlimen P.192 Mas Gading.

Projek yang dilaksanakan Pejabat Pendidikan Daerah Bau itu melibatkan kerja-kerja merobohkan sebuah struktur waterfront lama yang telah lama ditutup kerana usang, sebelum kawasan berkenaan ditimbus dengan tanah dan dilapisi batu bagi dijadikan tapak parkir baharu untuk kegunaan warga sekolah dan ibu bapa.

Ahli Parlimen Mas Gading, Mordi Bimol, berkata projek tersebut telah siap sepenuhnya dan diserahkan kepada pihak sekolah bagi membantu mengurangkan kesesakan yang sering berlaku terutama pada waktu puncak.

“Masalah parkir di SMK Bau berlarutan agak lama dan memberi kesan kepada kelancaran pergerakan kenderaan serta keselamatan warga sekolah.

“Dengan siapnya projek ini, kita dapat menyediakan ruang parkir yang lebih teratur, selesa dan selamat untuk guru, kakitangan, ibu bapa serta pelajar,” katanya selepas penyerahan tapak projek yang telah siap baru-baru ini.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan berkata, projek itu membuktikan bahawa peruntukan kerajaan dapat diterjemahkan kepada penyelesaian yang memberi manfaat langsung kepada masyarakat.

“Kita mahu setiap peruntukan digunakan secara berkesan untuk menyelesaikan masalah sebenar yang dihadapi rakyat. Projek ini bukan sahaja menambah kemudahan parkir di SMK Bau, malah membantu melancarkan aliran trafik di kawasan sekolah dan meningkatkan keselamatan semua pengguna,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pejabat Pendidikan Daerah Bau selaku agensi pelaksana kerana berjaya menyiapkan projek tersebut mengikut perancangan.

Kawasan parkir baharu itu dijangka dapat mengurangkan kesesakan di dalam kawasan sekolah, memperbaiki aliran trafik, serta meningkatkan keselamatan dan keselesaan semua pengguna SMK Bau.