Ling desak Kerajaan Sarawak dedahkan data sokong dakwaan FWTA proses permohonan dalam 61 hari

3
Ahli Parlimen Sibu, Oscar Ling Chai Yew menggesa kerajaan menyediakan data yang boleh disahkan serta penilaian bebas bagi menyokong dakwaan bahawa Foreign Worker Transformation Approach (FWTA) berjaya mengurangkan tempoh pemprosesan permohonan pekerja asing daripada 197 hari kepada 61 hari.
Ahli Parlimen Sibu, Oscar Ling Chai Yew menggesa kerajaan menyediakan data yang boleh disahkan serta penilaian bebas bagi menyokong dakwaan bahawa Foreign Worker Transformation Approach (FWTA) berjaya mengurangkan tempoh pemprosesan permohonan pekerja asing daripada 197 hari kepada 61 hari.

Sibu: Ahli Parlimen Sibu, Oscar Ling Chai Yew, mempersoalkan hasil prestasi yang didakwa dicapai menerusi Foreign Worker Transformation Approach (FWTA), sambil menggesa ketelusan yang lebih tinggi serta pengesahan bebas terhadap keberkesanan program tersebut.

Ling berkata, walaupun kerajaan menyatakan bahawa FWTA telah berjaya mengurangkan tempoh pemprosesan permohonan pekerja asing daripada 197 hari kepada 61 hari, tiada data yang boleh disahkan atau laporan penilaian bebas didedahkan kepada umum bagi menyokong dakwaan tersebut.

“Sehubungan itu, orang ramai masih tidak dapat menilai secara objektif sama ada reformasi ini benar-benar mencapai keberkesanan yang disasarkan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menggesa kerajaan meningkatkan ketelusan projek konsesi FWTA dengan mendedahkan sepenuhnya terma-terma utama kontrak, jumlah keseluruhan nilai kontrak, mekanisme perkongsian keuntungan serta Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang terperinci.

“Ini akan membolehkan orang ramai memahami bagaimana perkhidmatan awam yang disumber luar itu beroperasi, menghapuskan kebimbangan masyarakat mengenai sistem penyumberan luar dan amalan mencari keuntungan melalui pengaruh (rent-seeking), serta meningkatkan keyakinan rakyat terhadap pelaksanaan dasar.

“Walaupun reformasi pentadbiran yang dipacu kerajaan wajar diberikan sokongan, ia mesti berasaskan prinsip keterbukaan, ketelusan, harga yang munasabah dan akauntabiliti yang berkesan,” tegas Ling.