Kuota 30% Bumiputera: Soo dakwa dasar GPS bercanggah dengan prinsip sendiri

2
Jordan Soo berkata kuota 30 peratus Bumiputera tidak menjamin peluang tersebut akan sampai kepada kontraktor yang benar-benar memerlukannya, sambil menggesa Kerajaan Sarawak menyokong PKS tempatan daripada semua kaum serta memastikan ketelusan yang lebih tinggi dalam penganugerahan kontrak kerajaan.
Jordan Soo berkata kuota 30 peratus Bumiputera tidak menjamin peluang tersebut akan sampai kepada kontraktor yang benar-benar memerlukannya, sambil menggesa Kerajaan Sarawak menyokong PKS tempatan daripada semua kaum serta memastikan ketelusan yang lebih tinggi dalam penganugerahan kontrak kerajaan.

Kuching: Pemberian peluang projek kerajaan berdasarkan kaum tidak semestinya memastikan peluang tersebut sampai kepada mereka yang benar-benar memerlukannya, kata Timbalan Ketua DAPSY Sarawak, Jordan Soo.

Mengulas pengumuman Premier Sarawak, Abang Johari, mengenai kuota 30 peratus Bumiputera bagi projek utama Kerajaan Sarawak, Soo berkata tumpuan seharusnya diberikan kepada mewujudkan peluang yang bermakna kepada kontraktor kecil dan sederhana tempatan tanpa mengira kaum.

“Kerajaan sepatutnya memberi tumpuan kepada menyokong kontraktor kecil dan sederhana tempatan daripada semua kaum di Sarawak. Merekalah yang kekurangan peluang, paling memerlukan sokongan dasar, dan pada masa sama merupakan antara golongan yang paling mampu menyumbang kepada kemakmuran ekonomi Sarawak,” katanya.

Soo berkata kerajaan perlu menangani isu tersebut melalui langkah yang lebih adil dan asas, bukannya bergantung semata-mata kepada pengagihan berasaskan kaum.

Antara langkah yang dicadangkannya ialah menetapkan had terhadap jumlah keseluruhan nilai kontrak kerajaan yang boleh diperoleh oleh mana-mana satu syarikat.

Katanya, langkah itu dapat mengelakkan peluang daripada tertumpu kepada sebilangan kecil syarikat, selain memberikan kontraktor kecil dan sederhana peluang yang lebih bermakna untuk menyertai projek kerajaan.

Beliau menambah bahawa pengumuman berkenaan secara langsung bercanggah dengan apa yang selama ini didakwa diperjuangkan oleh GPS, yang berulang kali menggambarkan Sarawak sebagai berbeza daripada Semenanjung Malaysia, khususnya dalam pendekatan terhadap kaum dan pembangunan ekonomi.

“Selama bertahun-tahun, GPS memberitahu rakyat Sarawak bahawa kita berbeza daripada Semenanjung Malaysia, bahawa kita tidak mengaitkan kaum dengan pembangunan ekonomi dan bahawa kita menghargai keupayaan berbanding warna kulit.

“Namun hari ini, Kerajaan GPS berpatah balik dan menjadikan identiti kaum sebagai kriteria dalam pengagihan projek kerajaan,” katanya.

Soo turut mempersoalkan sama ada dasar kuota tersebut selari dengan hasrat Sarawak untuk menjadi sebuah negeri berpendapatan tinggi, berdaya saing dan maju menjelang 2030.

“Bagaimana kita mahu menjadi lebih berdaya saing dengan mengehadkan persaingan secara pentadbiran? Adakah hasil pembangunan yang terherot akibat dasar berasaskan kaum benar-benar mencerminkan Sarawak maju yang ingin kita bina?” soalnya.

Soo turut menggesa supaya maklumat berkaitan tender dan penganugerahan kontrak didedahkan sepenuhnya bagi memperkukuh ketelusan serta membolehkan penelitian awam yang lebih menyeluruh terhadap proses penganugerahan projek kerajaan.

“DAP tidak pernah menentang usaha membantu mereka yang kurang bernasib baik. Apa yang kami tentang ialah penggunaan kaum semata-mata sebagai asas dalam penggubalan dasar.

“Bantuan seharusnya berdasarkan siapa yang benar-benar memerlukannya, bukannya warna kulit. Jika Sarawak benar-benar mahu memilih haluan yang berbeza daripada Semenanjung Malaysia, maka GPS terlebih dahulu perlu berpegang pada kata-kata mereka sendiri,” tegasnya.