DAPSY Sarawak gesa bantuan pendidikan tinggi lebih inklusif

3
Arlena Wee Shi Ying, menggesa Kerajaan Sarawak memperluaskan kriteria kelayakan Bantuan Kemasukan ke IPT, dengan menegaskan bahawa pelajar Sarawak yang menuntut di universiti swasta tidak seharusnya diketepikan.
Arlena Wee Shi Ying, menggesa Kerajaan Sarawak memperluaskan kriteria kelayakan Bantuan Kemasukan ke IPT, dengan menegaskan bahawa pelajar Sarawak yang menuntut di universiti swasta tidak seharusnya diketepikan.

Kuching: DAPSY Sarawak menggesa Kerajaan Sarawak supaya mengkaji semula dan memperluaskan kriteria kelayakan bagi Bantuan Kemasukan ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT) bagi memastikan pelajar Sarawak tidak diketepikan berdasarkan institusi atau laluan pendidikan yang mereka pilih.

Pengarah Hal Ehwal Varsiti DAPSY Sarawak, Arlena Wee Shi Ying, berkata walaupun DAPSY menyokong usaha mengurangkan beban kewangan rakyat Sarawak yang melanjutkan pengajian tinggi, masih terdapat jurang dalam program bantuan sedia ada, khususnya bagi pelajar yang menuntut di institusi pengajian tinggi swasta.

Beliau berkata terdapat tanggapan bahawa pelajar yang menuntut di universiti swasta datang daripada keluarga berkemampuan, sedangkan ramai keluarga sebenarnya terpaksa membuat pengorbanan besar, manakala pelajar pula bergantung kepada PTPTN dan pinjaman pendidikan lain.

Arlena memetik data yang dilaporkan oleh The Edge Malaysia, yang menunjukkan pelajar di institusi swasta merangkumi kira-kira 180,000 penerima baharu PTPTN setiap tahun, sekali gus menunjukkan jumlah besar pelajar yang bergantung kepada bantuan kewangan untuk melanjutkan pengajian tinggi.

Beliau turut menyoroti jurang antara pelajar yang menerima manfaat daripada inisiatif pendidikan tinggi percuma Sarawak dengan mereka yang mengikuti pengajian melalui laluan lain yang diiktiraf.

“Pelajar Sarawak yang mendapat manfaat daripada skim pendidikan tinggi percuma boleh menerima bantuan yang besar meliputi yuran pengajian, penginapan dan perbelanjaan sara hidup sehingga RM15,000 setahun.

“Sedangkan seorang lagi pelajar Sarawak yang mengikuti program diiktiraf melalui institusi berbeza mungkin tidak layak menerima bantuan kemasukan secara sekali bayar sebanyak RM1,000 bagi pengajian dalam Sarawak atau RM1,500 bagi pengajian di luar Sarawak,” katanya.

Arlena menegaskan bahawa jumlah RM1,000 atau RM1,500 sekalipun boleh membantu pelajar menampung kos penginapan, makanan, pengangkutan, buku dan keperluan asas lain sepanjang tahun pertama pengajian.

“Soalannya bukan sama ada elaun RM10,000 perlu ditarik balik daripada mereka yang menerimanya. Persoalannya ialah sama ada sumber dan dasar Kerajaan benar-benar sampai kepada semua pelajar Sarawak yang sememangnya memerlukan sokongan.

“Jika prinsipnya benar-benar ‘Sarawak untuk semua rakyat Sarawak’, maka kita perlu bertanya: adakah ini benar-benar Sarawak untuk semua rakyat Sarawak, atau sekadar satu kemudahan politik yang memberi manfaat kepada mereka yang kebetulan memenuhi syarat skim tersebut?” soalnya.

DAPSY Sarawak menggesa kriteria kelayakan diperluaskan supaya pelajar Sarawak yang memenuhi kelayakan akademik dan mempunyai status Sarawak yang sah boleh menerima bantuan tersebut tanpa mengira institusi atau laluan pendidikan yang dipilih.