
Kuching: Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen menggesa Kerajaan Sarawak agar mempercepatkan pembesaran Pelabuhan Senari serta memberikan penjelasan yang telus mengenai masa depan Pelabuhan Pending.
Menurut Chong, langkah itu penting supaya rakyat dapat memahami hala tuju keseluruhan Kerajaan, dan bukannya hanya menyaksikan kemerosotan secara beransur-ansur sebuah hab logistik utama Kuching tanpa sebarang arah yang jelas.
Chong, yang juga Ahli Parlimen Stampin, berkata beliau baru-baru ini mengadakan lawatan ke tapak pembinaan Jambatan Sejingkat yang menghubungkan Tanjung Bako dan Demak Laut bagi meninjau kemajuan projek tersebut serta menilai kesannya terhadap pembangunan Kuching secara keseluruhan.
“Tidak dapat dinafikan bahawa Jambatan Sejingkat merupakan projek infrastruktur yang amat dialu-alukan kerana akan membawa manfaat besar kepada rakyat. Saya sentiasa menyokong projek pembangunan yang meningkatkan kesalinghubungan, memudahkan urusan orang ramai dan meningkatkan kualiti hidup.
“Apabila siap kelak, jambatan ini akan menyediakan laluan tambahan kepada penduduk Samarahan untuk ke pusat bandar Kuching, sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap Lebuhraya Kuching–Samarahan serta membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas yang telah lama dihadapi oleh para pengguna jalan raya.
“Namun, di sebalik manfaatnya kepada pengangkutan darat, saya turut mendapati satu kelemahan perancangan yang serius, iaitu ruang pelepasan navigasi di bawah jambatan yang tidak mencukupi,” katanya.
Beliau berkata, jambatan itu hanya mempunyai pelepasan udara (air draft clearance) kira-kira 26 meter, sekali gus menghalang kapal Roll-on/Roll-off (Ro-Ro) dan kapal kargo pukal yang sebelum ini menggunakan Pelabuhan Pending daripada melalui bawah jambatan tersebut.
“Pelabuhan Pending sekian lama berfungsi sebagai tempat pemunggahan kapal pengangkut kenderaan serta kargo pukal seperti jagung dan makanan ternakan. Disebabkan had ketinggian itu, kapal-kapal tersebut kini terpaksa beralih ke Pelabuhan Senari, sekali gus mengehadkan peranan asal Pelabuhan Pending sebagai pelabuhan komersial,” katanya.
Chong berkata, pemindahan operasi kargo itu telah meningkatkan tekanan ke atas Pelabuhan Senari yang pada asalnya direka khusus untuk mengendalikan trafik kontena.
Beliau berkata, pemain industri memaklumkan bahawa kapal-kapal yang berlabuh di Pelabuhan Senari kini perlu menunggu antara satu hingga dua minggu untuk mendapatkan tempat berlabuh dan menyelesaikan operasi pemunggahan.
“Kelewatan ini akhirnya akan meningkatkan kos kepada perniagaan, pengimport dan pengilang, dan kos tersebut akhirnya akan dipindahkan kepada pengguna,” katanya.
Chong turut melahirkan kebimbangan apabila sesetengah kapal pengangkut kenderaan kini tidak lagi berlabuh di Kuching, sebaliknya memunggah kenderaan di Pelabuhan Bintulu berikutan kekangan kapasiti di Pelabuhan Senari, sekali gus meningkatkan kos logistik.
“Ini menimbulkan persoalan penting. Ketika merancang pembinaan Jambatan Sejingkat, adakah Kerajaan Sarawak sudah menjangkakan Pelabuhan Pending akan kehilangan fungsinya dan bercadang memusatkan operasi kargo di Pelabuhan Senari? Atau adakah ini sekadar satu kelemahan besar dalam perancangan?
“Jika Kerajaan sememangnya telah menjangkakan Pelabuhan Pending tidak lagi dapat berfungsi seperti sebelum ini, mengapa pembesaran Pelabuhan Senari tidak dilaksanakan serentak dengan pembinaan jambatan bagi menampung pertambahan jumlah kargo?” soalnya.
Chong berkata, memandangkan Pelabuhan Pending kini secara efektif telah kehilangan fungsi asalnya sebagai pelabuhan komersial, Kerajaan Sarawak juga perlu menjelaskan perancangannya terhadap kawasan tanah pelabuhan yang luas dan kini diduduki oleh Lembaga Pelabuhan Kuching di Pending.
“Adakah pelan pembangunan semula telah dirangka? Jika ada, rakyat berhak mengetahuinya. Kami mengalu-alukan pembinaan Jambatan Sejingkat kerana ia pasti akan meningkatkan hubungan antara Kuching dan Samarahan serta memberi manfaat kepada ribuan pengguna jalan raya setiap hari.
“Namun, projek infrastruktur berskala besar tidak boleh hanya memberi tumpuan kepada pengangkutan darat semata-mata. Ia juga mesti mengambil kira aspek logistik maritim, pembangunan ekonomi dan perancangan bandar yang menyeluruh,” katanya.













