Chong desak ketelusan berhubung dakwaan urus niaga jet peribadi bernilai AS$70 juta

2
Chong Chieng Jen menggesa Kerajaan Sarawak mendedahkan butiran dakwaan urus niaga jet peribadi bernilai AS$70 juta, termasuk kos, terma pajakan, pemilikan dan proses perolehan.
Chong Chieng Jen menggesa Kerajaan Sarawak mendedahkan butiran dakwaan urus niaga jet peribadi bernilai AS$70 juta, termasuk kos, terma pajakan, pemilikan dan proses perolehan.

Kuching: Pengerusi DAP Sarawak merangkap Ahli Parlimen Stampin, Chong Chieng Jen, menggesa Kerajaan Sarawak tampil memberikan penjelasan berhubung dakwaan urus niaga jet peribadi bernilai jutaan dolar Amerika yang melibatkan entiti berkaitan Sarawak, khususnya mengenai pemilikan pesawat selepas tempoh pajakan serta sama ada urus niaga tersebut diberikan melalui proses tender terbuka.

Chong berkata beliau baru-baru ini memperoleh maklumat berhubung sebuah pesawat peribadi yang dilaporkan bernilai sekitar AS$70 juta, namun masih dalam proses mengesahkan jumlah sebenar serta butiran transaksi berkenaan.

“Berdasarkan maklumat yang saya peroleh setakat ini, transaksi tersebut tidak dibuat secara langsung oleh Kerajaan Sarawak, sebaliknya diuruskan melalui sebuah syarikat berkaitan yang pemegang saham utamanya termasuk entiti berkaitan Kerajaan Sarawak,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa sama ada transaksi tersebut distrukturkan sebagai perolehan kerajaan secara langsung atau dilaksanakan melalui syarikat berkaitan, ia tidak seharusnya terlepas daripada penelitian awam sekiranya institusi berkaitan kerajaan, sumber awam dan kepentingan rakyat Sarawak akhirnya terlibat.

“Pada akhirnya, wang yang dibelanjakan bukanlah wang kerajaan sendiri. Itu adalah wang rakyat,” katanya.

Menurut maklumat yang diperoleh, Chong berkata pesawat tersebut diperoleh melalui kaedah “pajakan kering” atau dry lease, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai tempoh pajakan, jumlah kos keseluruhan dan pemilikan pesawat selepas perjanjian tamat.

“Apakah sebenarnya terma perjanjian pajakan ini? Berapa lama tempoh pajakan? Siapakah yang akan memiliki pesawat tersebut apabila pajakan tamat? Apakah aset yang akhirnya akan diperoleh oleh Kerajaan Sarawak atau syarikat berkaitan itu? Yang paling penting, berapakah jumlah sebenar kos keseluruhan urus niaga ini?” soalnya.

Chong turut mempersoalkan sama ada pembekal lain dipanggil untuk mengemukakan tawaran bagi dibandingkan dalam transaksi yang melibatkan puluhan juta dolar Amerika.

“Mengapa beberapa pembekal tidak dibandingkan? Mengapa tiada persaingan terbuka? Mengapa syarikat ini? Mengapa harga ini?” soalnya.

Beliau menggesa Kerajaan Sarawak dan semua entiti yang terlibat mendedahkan nilai penuh urus niaga, proses pemilihan pembekal, alternatif yang dipertimbangkan serta sama ada terdapat pilihan yang lebih murah.

Chong menegaskan bahawa persoalan yang dibangkitkan tidak bermaksud telah berlaku sebarang salah laku, sebaliknya merupakan tanggungjawab pembangkang untuk memastikan ketelusan dan akauntabiliti.

Beliau berkata akan menulis secara rasmi kepada syarikat berkenaan bagi mendapatkan penjelasan.

Chong turut menggesa ketelusan berhubung laporan mengenai kemungkinan pemerolehan sebuah lagi pesawat siri Falcon, dengan berkata butiran berkenaan perlu didedahkan sekiranya wang awam terlibat.

“Jika puluhan juta dolar wang rakyat terlibat, sepatutnya lebih banyak ketelusan, bukannya kurang,” katanya.