
Kuala Lumpur: Semalam, saya telah menghadiri sesi taklimat oleh Kementerian Kewangan mengenai pelaksanaan Budi Diesel, di mana subsidi pukal diesel untuk Sabah dan Sarawak akan digantikan dengan subsidi bersasar selaras dengan pelaksanaan dasar subsidi bersasar di seluruh negara melalui Budi Diesel tersebut.
Di bawah sistem subsidi Budi Diesel, pemilik kenderaan bermotor diesel akan diberikan kuota bulanan sebanyak 200 liter diesel bersubsidi pada harga RM2.10, manakala pemilik pikap dan jeep layak memohon tambahan 100 liter.
Selain itu, pemain logistik tertentu juga layak memohon kad armada SKDS yang membolehkan mereka membeli diesel bersubsidi.
Bagi pemegang kad SKDS ini, lori kargo, lori rigid, prime mover dan van panel layak membeli kuota bulanan diesel pada harga RM2.15 seliter, manakala bas sekolah/van, bas dan bas ekspres pula layak membeli diesel pada harga RM1.88 seliter.
Saya turut dimaklumkan dalam taklimat bahawa pelaksanaan subsidi bersasar melalui Budi Diesel di Sarawak telah diluluskan oleh Jemaah Menteri, di mana semua menteri dari Sarawak tidak membantah perkara tersebut. Sehubungan itu, kerajaan meneruskan pelaksanaannya di Sarawak, dan demikianlah pengumuman oleh Perdana Menteri.
Oleh itu, memandangkan menteri-menteri dari Sarawak dalam Jemaah Menteri tidak membantah pelaksanaan skim ini di Sarawak, ia akan dilaksanakan bermula 1 Julai 2026.
Namun demikian, dalam mesyuarat tersebut, saya menegaskan bahawa dengan keluasan Sarawak serta kebergantungan tinggi kepada kenderaan diesel, kuota bulanan 300 liter tidak mencukupi khususnya bagi mereka yang tinggal di kawasan pinggir bandar. Selain itu, kategori penerima SKDS sedia ada juga TIDAK merangkumi pemilik lori tipper yang mengangkut batu, pasir dan tanah.
Sehubungan itu, saya telah menyuarakan dan memperjuangkan peningkatan kuota bulanan daripada 300 liter kepada 500 liter untuk Sarawak serta kemasukan pemilik lori tipper di Sarawak sebagai penerima kad armada SKDS supaya mereka tidak terbeban dengan kenaikan kos diesel tanpa subsidi.
Chong Chieng Jen
Pengerusi DAP Sarawak
Ahli Parlimen Stampin
24 Jun 2026














