
Kuching: Timbalan Ketua DAPSY Sarawak, Soo Tien Ren, menggesa kerajaan dan pengendali Perkhidmatan Doktor Udara (FDS), Layang-Layang Aerospace Sdn Bhd, memastikan ketelusan, akauntabiliti serta piawaian keselamatan tertinggi susulan nahas helikopter maut di Long Lellang.
Soo, yang juga Pembantu Khas kepada Ahli Parlimen Stampin, Chong Chieng Jen, menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga dan orang tersayang petugas perubatan serta juruterbang yang terkorban dalam tragedi tersebut.
Beliau berkata nahas berkenaan menimbulkan persoalan serius mengenai aspek keselamatan perkhidmatan aeroperubatan yang beroperasi di kawasan luar bandar dan pedalaman Sarawak.
“Orang ramai berhak mengetahui sama ada rangka kerja sedia ada yang mengawal keselamatan penerbangan, penyelenggaraan pesawat, pengaturan kontrak serta pengawasan kawal selia FDS cukup ketat dan menyeluruh,” katanya dalam satu kenyataan.
Soo berkata, berdasarkan maklumat yang tersedia kepada umum, Layang-Layang Aerospace sebelum ini telah dianugerahkan kontrak bernilai kira-kira RM63 juta bagi menyediakan FDS, perkhidmatan pemindahan perubatan serta perkhidmatan aeroperubatan berkaitan untuk Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak.
Beliau berkata kerajaan dan pengendali perlu memberikan penjelasan yang jelas mengenai sistem keselamatan serta langkah perlindungan yang sedang dilaksanakan.
Tanpa menjejaskan siasatan Biro Siasatan Kemalangan Udara (AAIB), Soo berkata pengendali perlu menjelaskan prosedur pengurusan keselamatan penerbangan dan operasi yang diguna pakai.
Katanya, siasatan perlu meneliti rekod penyelenggaraan dan servis pesawat, penggantian komponen kritikal, jumlah jam penerbangan, pemeriksaan sebelum penerbangan, penilaian risiko serta langkah keselamatan bagi misi ke kawasan pedalaman.
Bagaimanapun, Soo menegaskan punca sebenar nahas masih tertakluk kepada siasatan AAIB dan tiada pihak seharusnya membuat kesimpulan atau menuding kesalahan sebelum penemuan rasmi siasatan dikeluarkan.
Beliau turut menggesa Kementerian Kesihatan dan agensi berkaitan menjalankan semakan serentak terhadap keperluan kontrak FDS, mekanisme pemantauan keselamatan, piawaian penyelenggaraan, pengurusan kelayakan terbang armada serta pengawasan kawal selia.
Soo berkata FDS bukan sekadar operasi penerbangan komersial biasa kerana petugas perubatan bergantung kepadanya untuk sampai ke komuniti pedalaman dan menyediakan perkhidmatan kesihatan penting.
“Menyokong syarikat tempatan tidak seharusnya bermakna merendahkan piawaian akauntabiliti atau keselamatan,” katanya.
Beliau menambah bahawa rakyat Sarawak mahukan fakta, ketelusan dan akauntabiliti, bukannya spekulasi atau mencari kambing hitam sebelum siasatan selesai.













