
Kuching: DAPSY Sarawak menggesa Kerajaan Sarawak menjelaskan sama ada ia benar-benar bersedia sebelum mengambil alih MASwings dan melancarkan AirBorneo, susulan pengumuman syarikat penerbangan itu mengenai pelarasan besar-besaran jadual penerbangan yang menjejaskan ribuan penumpang.
Timbalan Ketua DAPSY Sarawak, Soo Tien Ren, berkata AirBorneo baru beroperasi sepenuhnya kira-kira enam bulan, namun telah mengumumkan perubahan jadual penerbangan yang meluas bagi tempoh 6 Julai hingga 24 Oktober 2026.
“Pelarasan itu melibatkan pengurangan kekerapan bagi 594 penerbangan serta perubahan waktu berlepas untuk 1,337 penerbangan lagi, sekali gus menjejaskan kira-kira 4,000 penumpang,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, gangguan yang berpanjangan itu menunjukkan wujudnya isu operasi yang lebih mendalam dan bukannya sekadar masalah sementara.
Soo menegaskan bahawa keselamatan penumpang mesti kekal menjadi keutamaan tertinggi syarikat penerbangan itu, sambil menambah bahawa tiada siapa mengharapkan AirBorneo mengabaikan penyelenggaraan pesawat semata-mata untuk mengekalkan jadual penerbangan. Namun, katanya, aspek keselamatan tidak seharusnya dijadikan alasan untuk mengelakkan akauntabiliti kepada rakyat.
Beliau berkata, Kerajaan Sarawak sebelum ini mempromosikan AirBorneo sebagai syarikat penerbangan milik negeri yang mampu menawarkan tambang lebih mampu milik, jadual penerbangan yang lebih boleh dipercayai serta hubungan udara serantau yang lebih baik selepas pengambilalihan MASwings.
“Namun, belum pun genap enam bulan beroperasi, hampir 2,000 penerbangan terpaksa diselaraskan berikutan isu penyelenggaraan melibatkan pesawat ATR72 dan Twin Otter, selain kekurangan alat ganti di peringkat global,” katanya.
Soo mempersoalkan sama ada kerajaan telah menjalankan penilaian teknikal yang menyeluruh terhadap armada sedia ada sebelum menggunakan dana awam untuk pengambilalihan tersebut.
Menurutnya, sekiranya masalah penyelenggaraan dan kekurangan alat ganti itu sudah diketahui lebih awal, langkah-langkah kontingensi yang mencukupi sepatutnya telah disediakan. Jika sebaliknya, beliau mempersoalkan sama ada proses penelitian wajar (due diligence) telah dilaksanakan dengan sewajarnya sebelum pengambilalihan dimuktamadkan.
Beliau turut menggesa AirBorneo dan Kerajaan Sarawak supaya menerbitkan senarai penuh penerbangan yang terjejas, mendedahkan jumlah pesawat yang sedang digantung operasi, serta menjelaskan pelan kontingensi sehingga pesawat baharu dijangka diterima antara tahun 2027 hingga 2029.
Selain itu, Soo menggesa kerajaan menjelaskan langkah-langkah yang akan diambil bagi mengurangkan kesan terhadap penumpang serta bagaimana risiko operasi syarikat penerbangan itu akan diuruskan dalam tempoh tiga tahun akan datang.
Beliau berkata, ketika pengambilalihan AirBorneo diumumkan, kerajaan begitu pantas mengambil kredit atas inisiatif tersebut. Namun kini, apabila timbul masalah operasi yang menjejaskan orang ramai, kerajaan juga perlu bertanggungjawab dan tidak boleh sekadar menyalahkan kekangan rantaian bekalan global serta kekurangan alat ganti.
“Rakyat berhak mendapat penjelasan yang jelas sama ada armada pesawat telah diperiksa dengan teliti sebelum pengambilalihan, apakah persiapan yang dibuat selepas masalah dikenal pasti, dan bagaimana kerajaan bercadang memastikan AirBorneo benar-benar mampu memberikan perkhidmatan yang diyakinkan kepada rakyat,” katanya.














