
Kuala Lumpur: Projek Jambatan Batang Lupar, Jambatan Batang Igan dan Jambatan Rambungan telah dibatalkan oleh Yang Berhormat Menteri Baru Bian semasa menjawat jawatan Menteri di Kementerian Kerja Raya pada tahun 2019.
Terdapat beberapa faktor yang mendorong kepada pembatalan projek jambatan yang telah diluluskan iaitu projek berkenaan melibatkan jalan negeri dan dasar semasa kerajaan, Kementerian Kerja Raya pula hanya melaksanakan kerja – kerja membina dan menaik taraf Jalan Persekutuan.
Maka mantan Menteri Kerja Raya pada ketika itu Yang Berhormat Baru Bian memilih untuk membatalkan dan mengalihkan peruntukan pembinaan jambatan (melibatkan jalan negeri) untuk memberikan keutamaan kepada pembinaan jalan persekutuan iaitu Projek Sarawak Sabah Link Road Fasa 1 (SSLR1).
Projek Jalan Persekutuan SSLR1 ini bakal memberikan manfaat kepada penduduk di sekitar Miri, Limbang dan Lawas tanpa perlu melalui Negara Brunei.
Bahagian utara Sarawak seperti Limbang dan Lawas telah lama ketinggalan daripada aspek pembangunan jaringan jalan raya hampir 50 tahun dan hanya boleh diakses melalui Brunei.
Walaupun berada di dalam Sarawak, penduduk di Limbang dan Lawas seolah-olah terpisah memandangkan ketiadaan jaringan pengangkutan yang menghubungkan mereka dengan bahagian Miri.
Maka keutamaan projek jalan persekutuan pada ketika itu diberikan kepada rakyat Sarawak yang berada di bahagian Limbang, Lawas dan Miri.
Peruntukan RM900 juta pembinaan tiga jambatan yang berada di bawah kerajaan negeri telah dibatalkan dan dana berkenaan diperuntukan kepada pembinaan Projek Sarawak Sabah Link Road Fasa 1 ( SSLR1).
Saya percaya bahawa rancangan pembinaan Projek Sarawak Sabah Link Road Fasa 1 (SSLR1) yang dilakukan oleh mantan Menteri Kerja Raya, Baru Bian diterima baik oleh penduduk Sarawak yang menetap di bahagian Limbang, Lawas dan Miri.
Projek SSLR1 berkenaan diteruskan oleh Menteri Kerja Raya, Yb Datuk Sri Fadillah Yusof semasa di bawah pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Projek SSLR2 pula telah dilancarkan Kerajaan Madani dan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Anwar Ibrahim di Nanga Medamit, Limbang pada tahun 2025. SSLR2 ini melibatkan jajaran jalan raya sepanjang 335km melibatkan peruntukan kerajaan persekutuan sebanyak RM 7.6 billion dan akan menghubungkan Miri, Marudi, Mulu, Limbang, Lawas dan Ba’Kelalan.
Saya tidak menafikan ramai rakyat Sarawak yang kecewa dengan pembatalan projek jambatan Batang Lupar, Batang Igan dan Jambatan Rambungan yang terletak di bawah kerajaan negeri.
Tetapi pada masa yang sama saya juga percaya bahawa penduduk di Limbang, Lawas dan Miri menarik nafas lega dan gembira kerana mereka turut mendapat perhatian dan keutamaan daripada Kerajaan Persekutuan apabila projek Sarawak – Sabah Link Road ini dimulakan pada tahun 2021.
Larry Asap
Ahli Dewan Negara
2 Julai 2026














