
Kuching: Senator Larry Asap mencadangkan kerajaan melaksanakan projek perintis sekurang-kurangnya enam bulan bagi menguji peluasan penggunaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) di pasar tamu sebelum diperluaskan secara menyeluruh.
Menurut beliau, pendekatan tersebut penting bagi mengenal pasti kekuatan dan kelemahan mekanisme pelaksanaan, selain mengukur kesannya terhadap pendapatan penjaja dan peniaga kecil di peringkat akar umbi.
Cadangan itu dikemukakan susulan pertanyaan beliau kepada Menteri Kewangan pada 27 Julai 2026, semasa Mesyuarat Kedua, Penggal Kelima, Parlimen Kelima Belas, mengenai kesediaan kerajaan memperluas skop perbelanjaan SARA ke pasar tamu.
Dalam jawapan terbabit, Kementerian Kewangan memaklumkan bahawa penggunaan pembayaran kod QR SARA di pasar tamu dan pasar tani masih dalam peringkat kajian dan penelitian.
Kementerian turut menyatakan bahawa sekiranya mekanisme itu didapati mampan, pelaksanaannya akan diumumkan dalam Belanjawan 2027.
Larry berkata Kementerian Kewangan perlu bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Pejabat Daerah bagi melaksanakan projek perintis tersebut.
Antara mekanisme dicadangkan ialah pendaftaran dan pelesenan penjaja melalui PBT, mendapatkan lesen perniagaan melalui Pejabat Daerah, membuka akaun semasa bagi urusan perniagaan serta penyediaan kod QR oleh Kementerian Kewangan bagi transaksi SARA.
Beliau mencadangkan projek perintis itu melibatkan pasar tamu di kawasan bandar, separa bandar dan luar bandar bagi membolehkan keberkesanannya dinilai dalam konteks yang berbeza.
“Data pendapatan yang diperoleh oleh para penjaja di pasar tamu ini amat penting bagi memberikan gambaran sejauh manakah dasar ini berjaya meningkatkan pendapatan isi rumah mereka,” katanya.
Menurut Larry, data konkrit juga diperlukan untuk menilai sama ada program itu berjaya membantu peserta keluar daripada Paras Garis Kemiskinan (PGK).
Beliau berharap cadangan itu dipertimbangkan dalam Belanjawan 2027 sebagai langkah awal memperluas manfaat SARA kepada komuniti akar umbi.
“Kita mulakan dengan satu langkah kecil ini. Untuk makluman, peruntukan STR dan SARA pada 2026 sahaja mencecah RM 15 billion,” katanya.
Tambahnya, cadangan peluasan penggunaan skop SARA ini adalah bertujuan untuk meningkatkan pendapatan isi rumah dan membebaskan mereka daripada belenggu kemiskinan.











