
Kuching: Sebanyak RM202,500 telah disalurkan kepada SK Satria Jaya dan SK Sungai Stutong di kawasan Parlimen Stampin bagi pembelian TV Interaktif Pintar untuk meningkatkan pembelajaran digital.
Pembantu Khas kepada Ahli Parlimen Stampin, Chong Chieng Jen, Michael Kong Feng Nian, berkata SK Satria Jaya menerima RM108,000 bagi pembelian sembilan unit TV Interaktif Pintar, sekali gus memenuhi komitmen yang dibuat pada tahun lalu untuk melengkapkan bilik darjah sekolah berkenaan dengan kemudahan tersebut.
“Dengan pemasangan terbaru ini, kebanyakan bilik darjah kini telah dilengkapi kemudahan berkenaan, dan para guru turut memberikan maklum balas positif bahawa teknologi ini membantu menjadikan pengajaran lebih menarik dan berkesan.
“Bagaimanapun, beberapa bilik darjah Tahun Satu masih memerlukan kemudahan tersebut. Perbincangan lanjut akan diadakan bersama pihak sekolah bagi meneliti kemungkinan menyediakan unit tambahan pada tahun hadapan,” katanya.
Sementara itu, SK Sungai Stutong menerima RM94,500 bagi pembelian tujuh unit TV Interaktif Pintar, susulan penyediaan lapan unit pada tahun lalu.
“Dengan peruntukan terbaru ini, semua bilik darjah di sekolah berkenaan akan dilengkapi teknologi tersebut, sekali gus memberi manfaat kepada pelajar dari komuniti sekitar termasuk Kampung Stutong dan Skim Penempatan Semula Stampin, yang sebahagian besarnya daripada keluarga berpendapatan B40,” katanya.
Kong berkata inisiatif itu bertujuan menyediakan peluang pembelajaran yang lebih baik kepada pelajar tanpa mengira latar belakang kewangan keluarga.
Beliau turut menegaskan komitmennya untuk terus bekerjasama dengan kedua-dua sekolah dalam menangani keperluan mereka serta menyediakan kemudahan pendidikan yang lebih baik.










