Kelvin Yii kemuka lima cadangan tangani krisis kekurangan doktor di Sabah, Sarawak

8
Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii Lee Wuen ketika berucap dalam perbahasan di Dewan Rakyat mengenai kekurangan doktor dan cabaran perkhidmatan kesihatan di Sabah dan Sarawak.
Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii Lee Wuen ketika berucap dalam perbahasan di Dewan Rakyat mengenai kekurangan doktor dan cabaran perkhidmatan kesihatan di Sabah dan Sarawak.

Kuala Lumpur: Bandar Kuching MP Dr Kelvin Yii Lee Wuen mengemukakan lima cadangan kepada Kerajaan Persekutuan bagi menangani krisis kekurangan doktor di Sabah dan Sarawak, termasuk reformasi insentif, laluan kerjaya serta pengambilan tenaga perubatan secara sementara.

Ketika membahaskan isu perkhidmatan kesihatan di Dewan Rakyat hari ini, Dr Kelvin berkata peningkatan kadar pegawai perubatan yang tidak melapor diri bagi penempatan tetap menunjukkan masalah tersebut memerlukan penyelesaian secara lebih menyeluruh.

Beliau berkata kadar itu meningkat daripada dua peratus pada 2022 kepada 20% pada 2023, kira-kira 40% pada 2025 dan 66%bagi penempatan hospital di Sabah pada bulan ini, sambil merujuk laporan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) yang meletakkan kadar di Sabah dan Sarawak pada 70% hingga 76%.

Katanya, beberapa hospital turut menerima jumlah doktor jauh lebih rendah daripada keperluan.

“Hospital Beluran, misalnya, menerima sifar doktor baharu pada 28 September dan kini hanya mempunyai enam doktor, manakala Hospital Kanowit mempunyai tiga doktor, Kudat menerima empat daripada 17 dan Sri Aman enam daripada 20,” katanya.

Bagi menangani keadaan itu, Dr Kelvin mencadangkan untuk mengembalikan Bayaran Insentif Wilayah (BIW) secara progresif bagi petugas kesihatan di Sabah dan Sarawak serta membayar bantuan perpindahan lebih awal berdasarkan kos sebenar.

“Kedua, umumkan komitmen penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan yang mempunyai kuasa menetapkan saraan khusus tanpa terikat sepenuhnya kepada skim perkhidmatan awam.

“Ketiga, doktor yang dilantik tetap perlu diberikan laluan kenaikan pangkat dengan segera, manakala khidmat di Sabah dan Sarawak dijadikan kelebihan untuk mendapatkan tempat kepakaran,” katanya.

Beliau turut mencadangkan tempoh perkhidmatan antara 12 hingga 24 bulan dengan pakej insentif dan kelebihan kerjaya yang jelas.

Bagi cadangan keempat, Dr Kelvin berkata, kerajaan negeri disaran menyediakan bonus dan insentif negeri kepada petugas kesihatan, manakala Kerajaan Persekutuan perlu memastikan pemulangan hasil kepada Sabah dan Sarawak selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan MA63.

Sebagai langkah jangka pendek, Dr Kelvin turut mencadangkan pengambilan doktor asing, khususnya graduan antarabangsa yang dilatih di universiti perubatan Malaysia, dengan perlindungan keselamatan pesakit.

Beliau menegaskan langkah itu hanya bersifat sementara dan tidak boleh menggantikan usaha memperbaiki gaji, kebajikan serta prospek kerjaya doktor tempatan.